Help - Search - Members - Calendar
Full Version: Tariqah
Mesra.net Forum > Social & Societies > Hal Ehwal Islam
pecahmuka
Al-Tariqah al-Idrisiah adalah sebuah Tariqah yang muncul dan berpusat di Asir,(Arab Saudi) pada abad ke-19 M. Ia didirikan oleh Syarif Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris 'Ali al-Mashishi al-Yamlakhi al-Hasmi .

Semenjak kecil lagi Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris dididik dalam suasana yang penuh dengan kezuhudan dan keilmuan dan telah berguru dengan beberapa ulama dan ahli sufi yang termasyhur di zamannya. Melihat pada latar belakang pendidikan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris , ternyata beliau mempunyai sanad yang merangkumi semua bidang ilmu terutama hadith, tafsir, fiqh (4 mazhab) dan tasawwuf. Sekiranya kita meneliti rantaian sanad yang diperolehi oleh ulama’ dunia seperti al-Muhaddith Tuan Shaykh Yasin al-Fadani , Tuan Shaykh Sayyid Abbas ibn Abdul Aziz al-Maliki , al-Muhaddith Tuan Shaykh Sayyid Muhammad ibn ‘Alwi al-Maliki dan ulama-ulama lain, kita akan mendapati nama Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris tertera di dalam rijal sanad mereka. Juga, beliau masyhur meriwayatkan hadith Musalsal dan mempunyai sanad ‘Aali [1] misalnya sanad periwayatan di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris dan Imam al Bukhari hanya mempunyai 9 perantaraan.



Selain daripada mempelajari al-Quran, Hadiths, ilmu Tafsir, Aqidah dan Fikh, beliau telah mempelajari ilmu tasawuf sampai mendapat ijazah untuk mengajar ilmunya dari seorang sufi pimpinan Tariqah Khidriah, yakni Tuan Shaykh Sayyid Abu Al-Mawahib Abdul Wahhab at-Tazi . Gurunya yang lain dalam bidang tasawuf adalah Tuan Shaykh Abdul Qosim Al-Wazir (Tariqah Syaziliah) dan Shaykh Hasan Al-Qina’i (Tariqah Khalwatiah) .[2]

Di sini nampaknya beliau mendalami dan mengajarkan bermacam Tariqah lainnya. Beliau telah menerima beberapa tariqah seperti Tariqah Naqshabandiah, Qadiriah, dan lain-lain lagi.[3]

Juga, diriwayatkan oleh Tuan Shaykh Muhammad bin Ali as-Sanusi bahawa sewaktu dia belajar daripada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris , beliau telah mengajarinya selain Tariqah Khidiriah juga Tariqah lain seperti Nasiriah, Naqsyabandiah, Uwaysiah, Suhrawardiah, Shadziliah, Hatimiyazamqiah dan Qadariah, sehingga Tuan Shaykh Muhammad As-Sanusi menganggapnya "Qutb". [4]

Yusuf bin Ismail al-Nabhani pengarang kitab Jami' Karamat al-Auliya, menggambarkan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris sebagai orang yang berhasil menghimpun dan menguasai ilmu zahir (syari'ah) dan ilmu batin (tasawuf); memiliki kemasyhuran dalam ilmu al-Quran dan Hadiths, suatu ilmu yang diperoleh melalui Kasyf.

Al-‘Arif billah Tuan Shaykh Sayyid Muhammad al-Sanusi menamakan tariqah ini dengan al-Tariqah al-Muhammadiah. Beliau berkata, “Aku meriwayatkan al-Tariqah al-Muhammadiah ini dari pelbagai sanad. Sanad tertinggi yang kami ambil ialah daripada syeikh kami Qutb al-‘Arifin Imam al-Muhaqqiqin Maulana Sayyid Ahmad bin Idris …”[5]

Dari sudut keistimewaannya, ia merupakan tariqah yang dinisbahkan kepada Nabi Semua perkara yang terkandung di dalam tariqah ini, merupakan ambilan dan cedokan daripada Rasulullah dan Sunnahnya.

Sementara Shaykh kami, Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris pula menamakan tariqah ini dengan Ahmadiah, sempena dirinya sendiri – semoga Allah menyucikan rohaninya – kerana Rasulullah mengkhususkan tariqah tersebut kepada beliau dengan zikir yang lengkap, doa yang penuh rintihan dan sumber yang banyak.[6]

Beliau mendapat ajaran Tariqahnya sendiri langsung daripada Rasulullah [7]. Dalam pertemuan suri di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris dengan Rasulullah itu, Nabi Allah Khidr hadir sama. Rasulullah telah mengarahkan Saiyidina Khidr supaya mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad akan ayat-ayat dzikir Tariqah Syaziliyah. Kemudian, Baginda menyuruh Nabi Khidr mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad akan dzikir, selawat dan istighfar yang terbesar dan terafdhol sekali. Maka Nabi Allah Khidr mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad lafaz Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir. [8] Dalam pertemuan itu juga, Rasulullah menerangkan kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad sudut keutamaan dan rahsia-rahsia Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir tadi. Selepas itu Baginda mentalqinkan dzikir itu kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad tanpa perantaraan. [9]

Maka lahirlah sebuah tariqah yang agung yang dipimpin dan disebarkan oleh al-Qutb al-Muhaqiqqin Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris ini.

Sila Masuk
pecahmuka
Tariqah Ahmadiah Idrisiah berkembang terus dari Benua Arab ke Asia Tenggara melalui usaha gigih pemimpin-piminpin tariqah kita. Dengan kewibawaan dan dakwah yang sempurna, Tariqah ini telah diperkenalkan ke seluruh pelusuk Dunia terutama di rantau ini.



Antaranya :

Shaykh Muhammad Sa'id bin Jamaluddin Al-Linggi (wafat 1926)
Shaykh Abdullah bin Muhammad Sa'id (wafat 1956)
Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa'id (wafat 1964) – Mufti Negeri Sembilan
Shaykh Abdul Rashid bin Muhammad Sa'id (wafat 1992) (updated)
Shaykh Murtadza bin Ahmad – Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Shaykh Faiz bin Ahmad
Shaykh Abdalwahid-Felice Pallavicini
Shaykh Yahya Sergio Yaha Pallavicini



Shaykh Sholeh bin Muhammad Al-Ja'afari (wafat 1979) – Imam Masjid Al Azhar (Cairo)
Shaykh Abdul Ghani bin Sholeh Al-Ja'afari



Shaykh Abul Abbas bin Muhammad Ad-Dandarawi (wafat 1953)
Shaykh Abu Fadl bin Abul Abbas Ad-Dandarawi - Al-Amir Al-Usrah Ad-Dandarawiah



Shaykh Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani (wafat 1894)
Shaykh Wan Musa bin Abdul Samad (wafat 1939) – Mufti Kerajaan Kelantan



Shaykh Abu Hassan Muhammad Al-Azahari (wafat 1939)
Shaykh Daud Shamsuddin bin Omar (wafat 1976)

Sila Masuk
pecahmuka
Tuan Shaykh Muhammad Sa'id Al-Linqqi – (1874-1926)


Nama penuhnya tokoh besar ini ialah Tuan Shaykh Haji Muhammad Sa'id bin Haji Jamaluddin bin Haji Idris bin Haji Abdul Mukmin bin Muhammad Nakhoda al-Minankabawi bin Ahmad bin Umar bin Shalih bin Abdullah (berasal dari Hadralmawt) .

Ibunya Hajah Safiah Haji Muhamad Saleh Al Fatani berasal dari Patani, seorang pembaca Al-Quran yang terkenal dan pernah menjadi guru qiraati semasa di Mekah. Datuknya Tuan Shaykh Haji Muhamad Saleh juga seorang ulama terkenal dan berkahwin dengan Mariam, anak kepada ulama Shaykh Abdul Rashid Al-Fatani (satu-satunya ulama Melayu yang pernah mengajar di Masjidil Aqsa).

Tuan Shaykh Haji Muhammad Sa'id telah dilahirkan di Kota Mekah di Kampung Syi'b Ali pada hari Sabtu 4 Syaaban 1292H bersamaan 25 atau 18 September 1871.[1]

Kemudiannya beliau dibawa balik ke Patani dalam tahun 1882 ketika berusia 7 tahun. Di sana Tuan Shaykh Muhamad Sa'id dipelihara oleh ibu dan neneknya (Mariam). Apabila usianya menjangkau 17 tahun, beliau pun belayarlah ke Mekah Al-Mukarramah tempat ianya dilahirkan.

Antara guru-gurunya di Mekah yang berasal dari dunia Melayu ialah: Tuan Shaykh Ahmad Khatib al-Minankabawi , Tuan Shaykh Zainuddin as-Sumbawi , Tuan Shaykh Wan Ali al-Kalantani dan Tuan Shaykh Ahmad al-Fathani [2]. Di Madinah,Tuan Shaykh Muhammad Sa'id pernah belajar kepada Tuan Shaykh Sayyid Jaafar al-Barzanji , Mufti Mazhab Syafie di Madinah al-Munawwarah. Juga, beliau telah menimba ilmu daripada antaranya Tuan Shaykh Muhammad bin Sulayman Hasab Allah al-Makki , Tuan Shaykh Muhammad Nawawi al-Bentani , Tuan Shaykh Sayyid Abu Bakar al-Syata , Tuan Shaykh Ahmad al-Mansyawiy , Tuan Shaykh Umar al-Syami , Tuan Shaykh Muhammad Sa’id bin Muhammad Babsil (Mufti Mazhab Syafii di Mekah) , Tuan Shaykh Abdul Karim al-Deghastani dan Shaykh Umar bin Abi Bakar Bajunid . [3]

Beliau juga pernah mengembara memperdalam ilmu ke Mesir. Di sana beliau sempat belajar kepada Tuan Shaykh Syamsuddin al-Anbaby , Shaykh al-Azhar pada zaman itu. Juga beliau belajar kepada Tuan Shaykh Ahmad ar-Rifa'ie , ulama besar Mazhab Maliki di al-Azhar dalam tahun 1896.

Di dalam bidang yang khusus, beliau menerima Tariqah Ahmadiah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiah daripada Tuan Shaykh Sayyid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi dan mendapat ijazah pada akhir tahun 1316 Hijrah (bulan April 1901). [4] Tuan Shaykh Haji Muhamad Sa’id adalah khalifah atau wakil peribadi Tuan Shaykh Muhamad Ad-Dandarawi bagi kepulauan Melayu atau tanah Jawi. Pondoknya dibina di Ampangan, Seremban. Pondok ini dikatakan yang pertama diwujudkan di negeri ini dan ramai murid-murid dari serata tempat dalam Negeri Sembilan dan luar datang memondok di sana. Selain dari itu beliau juga keluar memberi kuliah di masjid dan surau. Beliau dikatakan alim dalam ilmu alat, usulludin, fiqh 4 mazhab, ilmu rohani, hikmat, falsafah dan lain-lain lagi.



Pada 12 Rabiul awal 1345 bersamaan 18 September 1926, Ulama terbilang ini menghembuskan nafas terakhirnya. Jasadnya diiringi ke tanah perkuburan berhampiran Kebun Bunga Seremban oleh lebih kurang 5000 umat Islam termasuk anak muridnya dan Almarhum Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu iaitu Tuanku Muhamad sendiri.

Sila Masuk
pecahmuka
Tuan Shaykh Haji Abdullah Haji Muhamad Sa'id – (1905 – 1956)


Beliau adalah antara anak-anak Tuan Shaykh Haji Muhamad Sa'id menjadi khalifah pertama Tariqah Ahmadiah selepas bapanya. Dilahirkan pada tanggal 1905 di rumah kaum kerabatnya di Jalan Melayu, Kuala Lumpur.

Ibunya orang Rembau bernama Siti Zubaidah Haji Said. Masa kecilnya beliau tinggal di Bukit Tembok, Seremban dan bersekolah di Sekolah Melayu Temiang dan meneruskan pendidikan agama dengan asuhan bapanya sendiri selama 12 tahun. Allahyarham menunaikan haji pada tahun 1930. Di Mekah, beliau sempat berguru dengan Tuan Shaykh Abu Abbas bin Muhamad bin Ahmad Ad- Dandarawi yang terkenal di zaman itu.

Apabila balik ke tanahair, beliau mula mengajar agama dengan membuka pondok. Di samping itu, beliau turut aktif mengajar di masjid-masjid dan suraunya di Ampangan. Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Agong Pertama itu turut berguru dengan Shaykh Haji Abdullah. Tuanku Abdul Rahman telah memberi tauliah mengajar agama dan membawa Tariqah Ahmadiah kepada Tuan Shaykh Abdullah .

Allahyarham sangat dihormati oleh masyarakat dan sebagai pemimpin tariqah yang soleh dan berbudi luhur. Beliau suka berterus terang dalam menyampaikan dakwah dan ikhlas menolong orang-orang yang susah. Dikatakan bila ada orang-orang yang suka melakukan perkara-perkara yang mungkar, beliau akan memberi nasihat dan teguran supaya mereka bertaubat.

Allahyarham Tuan Shaykh Haji Abdullah meninggal ketika usianya 51 tahun dalam tahun 1956. kehilangannya begitu dirasai oleh masyarakat kerana dikatakan ia dianggap pakar rujuk dan doa-doanya kerap kali pula diperkenan oleh Allah.

Sila Masuk
pecahmuka
Masa jumud dan taksub sudah habis. Masa menguji dan mengamalkan ilmu pengetahuan yang jelas dan terang dalam bentuk dan rangkaian tasawwuf yang sah, itulah yang dikehendakki oleh umat kita hari ini. Ahli tariqat Sufiah mesti mengorak langkah baru sesuai dengan dunia baru atom dan perlumbaan angkasaraya. Sebagaimana ulama-ulama feqh dan ulama-ulama ilmu yang lain mensesuaikan fatwa-fatwa dan pendapat-pendapat dengan perkembangan zaman dan hajat masyarakat kepada ilmu itu pada memelihara dan memperkukuhkan bangunan Islam itu. Maka demikian jua ulama-ulama tariqat Sufiah tidak boleh membeku dengan cara kolot lagi. Mestilah mengikuti ulama-ulama tasawwuf zaman dahulu memimpin umat dari kurun ke kurun, memimpin umat Muhammad ini dengan jiwa yang hidup semarak ke dalam kebahagian dan kesejahteraan yang abadi.

Simposium Tasawwuf dan Tariqat

pecahmuka
Pertapan dalam Islam dilarang dan dinafikan terus Rasulullah SAW "Tidak ada pertapaan (monk) dalam Islam"

Janganlah keliru dan terkeliru menyamakan tasawwuf dengan pertapaan.

Jika kita tak dapat atau tak terdaya, jangan sangka orang lain demikian seperti kita jua. Kita lihat bakat darjat dan kelebihan manusia ada berbagai-bagai atas mengatasi dari jadi guru sampai jadi ahli falsafah, dari ahli kimia sampai jadi saintis sarjana, dari tukang kayu sampai jadi teknologist, dari ahli feqh ke ahli tasawwuf dan berbagai-bagai lagi. Tetapi manusia itu tidak akan sama memiliki kepakaran masing-masing, bakat watak kelebihan dan kelayakannya. Demikian jua halnya masyarakat manusia dengan tasawwuf. Walaupun tidaklah semua orang sanggup hidup bertasawwuf tetapi pintunya terbuka tidak pernah tertutup. Siapa pun boleh masuk menuju kesempurnaan. Tumbuh perkembangan hidup seseorang itu menurut kebolehan persedian tabiat dirinya menegakkan kelebihan akhlak dan kesempurnaan insannya.

Uwais al-Qarni

Cerita Uwais al-Qarni sebagaimana Hadis nabi elok jadi renungan dan contoh tauladan bagi kita. Sabda Rasulullah SAW: "Wahai Umar! dan Wahai Ali! Apabila kamu bertemu dengan Uwais al-Qarni maka mintalah daripadanya supaya mendoakan keampunan bagi kamu, kerana doanya maqbul...matanya kebiru-biruan, rambutnya kemerah-merahan, bidang dadanya luas, sederhana tingginya, seorang yang tidak terkenal di bumi (dunia) dia terkenal di langit. Dibawah bahu kirinya tanda putih bercahaya".

Sepuluh tahun berulang-ulang Umar dan Ali mencari berita kedatangan Uwais al-Qarni dalam jemaah-jemaah haji orang-orang Yaman seperti yang telah diterangkan oleh Rasulullah SAW kepada mereka berdua.

Siapakah manusia yang lebih benar katanya lagi daripada sabda Rasulullah SAW?!. Bertambah-tambah ingin dan rindu lagi hendak bertemu dengan orang yang dikatakan oleh Rasulullah SAW yang dikasihi oleh kedua-duanya. Tiada syak wasangka pada sabdanya, berdebar-debar jantung menggeletar jiwa dengan kecintaan kedua-duanya hendak bertemu jua dengan Uwais al-Qarni itu.

bersambung..
This is a "lo-fi" version of our main content. To view the full version with more information, formatting and images, please click here.
Invision Power Board © 2001-2014 Invision Power Services, Inc.