Help - Search - Members - Calendar
Full Version: Masalah Berkait Mualaf ( Baru Memeluk Islam)
Mesra.net Forum > Social & Societies > Hal Ehwal Islam > Soal - Jawab Agama
Ewan_sn
...........
Ewan_sn
Ingin Kembali Ke Ajaran Islam

SOALAN:
Saya seorang Muslim yang sudah lama meninggalkan ajaran Islam secara serius, sama ada dalam bentuk kepercayaan, pegangan, dan dalam amal ibadat. Tetapi dalam kesempatan berkunjung ke surau berdekatan rumah untuk bersolat Tarawih pada tahun ini dan mendengar siri tazkirah, mula melahirkan bibit-bibit kesedaran untuk menjadi hamba Allah yang mempraktikkan Islam. Iklan



Dalam salah satu siri tazkirah, ada disebut bahawa Sayidina Umar bin al-Khattab pun sebelum memeluk Islam, merupakan seorang yang ada cita-cita untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. Bukan setakat itu, malah dia juga terbabit dalam menanam anak perempuannya pada zaman jahiliah, meminum arak, berfoya-foya, tetapi akhirnya selepas memeluk Islam jadi baik.

Persoalannya, bolehkah saya boleh menjadi seperti beliau (Umar), sedangkan saya dilahirkan sebagai seorang Islam berbeza dengan beliau yang tidak Islam.�Saya ingin sangat nasihat atau kaunseling ustaz, bagaimana saya boleh menjadi seorang Muslim yang baik pada Ramadan kali ini. - Abdul Muhaimin Ismail, Kg Chalok Barat, Setiu, Terengganu




Jawapan oleh Ustaz A Ghani Shamsudin :
Kesempatan hidup selama 60 atau 70 tahun di dunia ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Tuhan serta agama yang benar dan betul perlu dicari agar nasib kita nanti di akhirat lebih baik dan beruntung. Orang yang malang ialah mereka yang gagal mencari tuhan dan jalan yang benar untuk hidup di dunia ini lalu dia dibakar api neraka di akhirat kelak.

Jadi apabila saudara telah menemui agama dan tuhan yang sebenar saudara perlu istiqamah melaksanakan segala suruhan dan menghindari segala bentuk larangan-Nya. Jika tidak anda sama sahaja dengan manusia yang meraba-raba mencari tuhan dan jalan kehidupan yang diredainya.

Kehidupan dan sejarah yang dilalui oleh para leluhur seperti Sayidina Umar itu adalah suratan takdir bagi beliau. Beliau hidup dalam zaman kegelapan jahiliah yang sangat pekat. Namun Allah telah mengangkat mertabat beliau menjadi sahabat Rasul yang kedudukannya bagaikan bintang di langit. Jihad dan kesungguhan serta sumbangan jasa bakti beliau ketika itu tidak boleh disamakan dengan kaadaan sekarang. Saudara hidup dalam zaman Islam sudah berkembang lama; walaupun sudah banyak yang ditinggalkan ajarannya.

Apa yang penting ialah kita menunaikan ajaran Islam sepertimana yang diajar oleh Rasul dan sahabat-sahabat baginda. Dalam bulan Ramadhan ini kita disuruh menunaikan puasa pada waktu siangnya; kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Siapa yang berpuasa Ramadan dengan sukarela kerana dorongan keimanan semata-mata maka dosa-dosanya diampunkan."

Dalam sebuah hadis baginda menegaskan: "Dosa-dosa kecil seseorang berkaitan keluarga, harta dan jiran tetangganya dilupuskan oleh ibadat solat, puasa dan sedekah."

Puasa juga menurut baginda ibarat benteng atau tembok yang sangat kukuh menghindarkan kita daripada api neraka.

Dalam hadis lain pula baginda mengatakan: "Puasa dan amalan membaca al-Quran akan membantu seseorang itu pada hari kiamat kelak."

Abdullah bin Amru meriwayatkan daripada Rasulullah bahawa baginda bersabda: �Puasa dan amalan membaca al-Quran akan membantu seseorang itu pada hari kiamat kelak. (Ketika itu) puasa akan berkata: "Hai Tuhan aku telah menghalangnya daripada menjamah makanan dan melempiaskan nafsu syahwatnya oleh itu ampunkanlah dosanya kerana itu. Quran pula akan berkata: Hai Tuhan aku telah menyebabkan dia kurang tidur pada waktu malam oleh itu maafkanlah kesalahannya kerana itu. Baginda berkata (akhirnya) dia diberi pelepasan." (Hadis riwayat Ahmad

Pada bulan Ramadhan anda boleh memulakan taubat nasuha kepada Allah untuk meninggalkan segala perangai buruk seperti degil untuk tunduk kepada arahan dan tegahan agama, enggan melaksanakan kewajipan syara', suka melewatkan solat dan sebagainya.

Inilah bulan yang paling baik untuk anda memulakan corak hidup baru yang penuh keimanan, syukur, taat, inabah dan khusyuk dalam mengerjakan solat dan ibadah.

Inilah masa untuk berhijrah daripada pegangan dan ajaran yang salah dari sudut pemikiran dan budaya kepada kehidupan Islam yang sejati dan hakiki. Inilah saat yang paling sesuai kita berhijrah kepada landasan perjuangan politik Islam dan meninggalkan landasan politik berasaskan kaum atau tanah. Apabila nawaitu dan akidah kita benar maka solat dan puasa serta sedekah akan diterima Allah insya-Allah.Jika tidak segala amal ibadat menjadi sia-sia.

Dalam bulan yang mulia ini kita boleh membanyakkan sebutan zikir dan doa kepada Allah. Rasulullah menegaskan: Tiga orang yang doa mereka tidak akan dihampakan oleh Allah - orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, penguasa atau pemerintah yang adil dan doa orang teraniaya.(Hadis riwayat Termizi)

Pada bulan mulia ini juga pahala amal soleh akan digandakan oleh Allah. Sebab itu banyakkan bersedekah; menyumbang bakti dan budi. Nabi adalah seorang yang pemurah, apabila tiba Ramadan baginda adalah orang yang paling banyak memberi dan bersedekah.

Kepanasan matahari dan suasana yang terik di samping perut yang lapar membentuk seseorang agar tabah dan sabar berhadapan dengan rintangan.; inilah antara hikmat disyariatkan puasa. Ibadah ini mahu mencanai sifat tabah dan semangat yang kental serta azam yang kukuh untuk menjayakan cita-cita murni. Kesabaran ini menyebabkan dia tidak membalas cercaan orang dengan cercaan yang serupa; sebaliknya dengan jiwa besar dia mengatakan kepada mereka: "saya sedang berpuasa."

Sifat ini akan membawa kepada suasana damai dan tenteram dalam masyarakat.

Anda tidak perlu memikirkan diri anda boleh melampaui martabat Sayidina Umar justeru martabat Umar martabat yang sukar untuk ditandingi oleh orang seperti kita. Namun saudara boleh bercita-cita untuk menjadi insan terbaik dengan meluruskan niat, membersihkan hati dan meningkatkan kualiti dan jati diri sehingga mencapai darjat kemanusiaan yang mulia dan luhur.

Saudara boleh menyegerakan taubat kepada Allah beristighfar dan menyesali dosa-dosa yang lalu dan berazam untuk menghindarinya dan memulihkan kesan-kesan buruk terhadap dosa yang sudah berlaku.

Saudara boleh menyegerakan solat pada waktunya, solat berjemaah dengan berusaha mendapatkan takbir yang pertama bersama imam, menunaikan sunat rawatib dan amal soleh yang lain.

Banyakkan solat dan qiamullaili dengan berbagai jenis solat sunat yang lain, membaca qunut dan doa pada waktu sahur.

Saudara juga boleh membiasakan diri dengan tilawah al Quran. Jadikan tilawah sebagai adat dan amalan lazim harian anda. Indahkan al-Quran dengan suara bacaan anda yang merdu, khusyuk dan sayu.

Sambungkan silaturrahim, ziarahi kerabat dan saudara mara, maafkan kesalahan orang lain, jalin hubungan mesra dengan jiran tetangga dan orang kampung tempat tinggal anda. Banyakkan amalan bersedekah dan menderma.

Tunaikan zakat harta, keluarkan nafkah untuk anak isteri dan kerabat handai. Bantu golongan miskin dan orang yang tidak berdaya dan golongan tetindas di Mindanao, Pattani, Palestin, Afghanistan, Iraq, Darfur dan lain-lain.

Bersihkan jiwa dan hati daripada melihat orang lain; lebih-lebih lagi beranggapan para leluhur seperti Umar lebih jelek kedudukannya daripada kita. Sebaliknya kita harus meletakkan penghormatan yang sangat tinggi kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. yang disebut oleh oleh baginda sebagai bintang-bintang di langit.

Siapa sahaja daripada kalangan para sahabat yang kita contohi pasti kita akan mendapat petunjuk. Muliakan kedudukan mereka. Dalam masa yang sama cubalah hidup mencontohi mereka.

Dalam pada itu jika anda mempunyai rezeki yang cukup untuk menunaikan umrah dalam bulan Ramadan maka bulatkan tekad dan niat untuk menunaikannya dalam bulan puasa ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Penunaian umrah dalam bulan Ramadan menyamai ibadah haji (pahalanya) atau seolah-olah menunaikan haji bersama-samaku." ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selanjutnya anda manfaatkanlah bulan Ramadan untuk meningkat usaha jihad menegak dan menobatkan ajaran Islam; sama ada dengan lisan, tulisan, harta mahu pun nyawa. Bulan Ramadan ini bulan menjana perubahan merobohkan kebatilan dan kekufuran dan menegakkan keadilan dan cita-cita Islam. Inilah bulan kemenangan untuk umat Islam insya-Allah.

Demikianlah beberapa pesanan ringkas saya untuk saudara laksanakan; semoga saudara mendapat tempat dan martabat yang tinggi di sisi Allah Azza Wa Jalla. Wallah a'lam. _

Ewan_sn
Akad Nikah Setelah Menganut Islam


Soalan:
Apakah pasangan suami isteri bukan Islam perlu bernikah semula secara Islam setelah mereka menganut Islam? Bagaimana pula dengan anak mereka, perlukah di'bin'kan kepada bapa atau kepada 'Abdullah'?

Mohd Zafran, Taman Keramat KL


Jawapan:

Jika akad perkahwinan suami isteri telah sempurna sebelum Islam, kemudian kedua suami isteri masuk Islam, maka jika akad nikah yang diadakannya sesuai dengan akad nikah yang ada dalam Islam maka hukumnya sah. Pada zaman Rasulullah, bahawa Atikah binti Walid bin Mughirah masuk Islam mendahului suaminya beranama Sufwan bin Umaiyah lebih kurang sebulan sebelumnya. Kemudian suaminya menyusul memeluk Islam, maka Rasulullah SAW tetap mengakui ikatan perkahwinannya.
Anak seorang lelaki yang kahwin secara sah tetap di "bin" kan dengan bapanya walaupun perkahwinannya ketika masih zaman kafir. Begitu juga jika anaknya saja masuk ke dalam Islam maka anak tersebut tetap di "bin" kan dengan nama bapanya bukan dengan Abdullah seperti yang menjadi kebiasaan masyarakat melayu kita. Begitulah amalan yang dilakukan para sahabat Rasulullah SAW yang tetap menggunakan nama bapanya walaupun setelah mereka memeluk Islam. Wallahu a'lam.
Ewan_sn
Pengertian 'Tiada Paksaan Dalam Islam'


Soalan:

Islam meletakkan hukum bunuh kepada umatnya yang tidak mahu kembali kepada Islam setelah murtad. Di dalam surah Al Baqarah ayat 156 ( jika tidah salah ) yang bermaksud: Sesungguhnya tiada paksaan dalam agama. Jadi persoalannya di sini, mengapa Islam mengatakan bahawa tidak ada paksaan dalam agama sedangkan apabila umatnya keluar dari Islam dan memeluk agama lain dihukumkan hukuman bunuh jika tidak mahu kembali kepada Islam setelah murtad? Saya mengalami sedikit kesukaran untuk menjawab soalan tersebut yang pernah diutarakan oleh seorang pelajar non-muslim. Jadi tolong berikan hujah-hujah yang berkesan dan lengkap untuk menjawab persoalan pelajar non-muslim tersebut.

Nor, Skudai



Jawapan:

Memang diakui dalam Islam tidak ada paksaan dalam beragama. Seseorang bukan Islam tidak boleh dipaksa dengan sewenang-wenangnya supaya memeluk Islam. Sepanjang sejarahnya Islam tidak pernah memaksa seseorang memeluk agamanya secara kekerasan. Apa yang berlaku ialah ramai golongan yang bukan Islam memeluk Islam secara sukarela setelah melihat kebaikan agama Islam dan kesesuaiannya dengan fitrah semula jadi mereka. Tidak kurang juga yang memeluk Islam setelah berpuashati dengan kajian yang mereka lakukan.
Pelaksanaan hukum murtad kepada orang yang murtad sebenarnya tidak ada sangkut pautnya dengan konsep tidak ada paksaan dalam agama. Ini kerana seseorang yang bukan Islam tidak boleh dipaksa menerima Islam. Mereka bebas memilih agama yang mereka ingin anuti. Bagaimanapun setelah mereka memilih Islam, dengan sendirinya mereka tertakluk dengan undang-undang dan peraturan yang ada dalam agama Islam. Jika mereka melakukan kesilapan, mereka akan dihukum berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada dalam agama Islam. Islam ada maruahnya tersendiri. Apabila maruahnya telah dicabul, maka pencabulnya berhak mendapat hukuman setimpal menurut undang-undang Islam.

Kedudukannya tak ubah seperti seorang murid yang baru memasuki alam persekolahan. Sekolah yang dimasukinya mempunyai peraturan sendiri. Jika murid-muridnya melanggar disiplin sekolah maka pihak sekolah berhak melaksanakan hukuman ke atas murid yang melanggar peraturan itu dan perbuatan pihak sekolah ini tidak boleh dinyatakan sebagai melanggar kebebasan murid berkenaan. Jika seseorang murid boleh berbuat apa sahaja disekolah, boleh menampar dan menumbuk kawan-kawannya sendiri, malah boleh membunuh mereka dengan mudah, jelaslah sekolah berkenaan berkenaan tidak ada maruah diri dan tidak ada disiplin.

Tidak ada seorang yang berakal waras dan sihat yang ada di muka bumi ini sanggup mengatakan menguatkuasakan undang-undang bermakna menyekat kebebasan seseorang. Kebebasan murid berkenaan berbuat demikian akan menimbulkan kemusnahan kepada sekolah berkenaan dan akan menjejaskan nama baiknya sendiri. Andaikata menguatkuasakan undang-undang itu dikatakan menyekat kebebasan, sudah pasti menangkap para perompak dikatakan menyekat kebebasan perompak itu sendiri untuk menjalankan aktivitinya.

Dalam dunia hari ini Allah SWT menciptakan alam cakerawala dengan peraturannya sendiri. Bulan bebas berputar, begitu juga dengan matahari, namun putaran bulan dan juga matahari adalah di atas paksi masing-masing sesuai sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Andaikata Allah SWT membiarkan matahari bergerak bebas tanpa undang-undang yang mengawalnya, sudah pasti akan mendatangkan kemudaratan yang cukup besar kepada alam maya ini.

Sehubungan dengan itu Islam juga mempunyai peraturan dan maruah serta kehebatannya tersendiri. Jika seseorang boleh saja memeluk dan keluar dari Islam dengan mudah, sudah pasti mencemarkan nama baik Islam itu sendiri, kerana itu yang terlibat berhak menerima hukuman-hukuman yang setimpal termasuklah hukuman hudud kerana murtad.

Hukuman ini tidak bertentangan dengan konsep bebas memilih agama. Tambahan pula Islam adalah satu agama yang sudah lengkap merangkumi soal-soal hubungan dengan Allah, hubungan sesama makhluk, merangkumi persoalan ibadat, munakahat, muamalat, jinayat, siyasah dan hubungan antarabangsa. Tidak ada satu agamapun di dunia ini yang mana syariatnya begitu syumul seperti Islam. Memilih agama lain menunjukkan pemilihnya tidak menggunakan akalnya sesuai dengan fitrah semula jadinya sendiri.

Satu perkara lagi konsep kebebasan itu juga perlu difahami. Apa yang didakwa oleh orang-orang barat sebagai kebebasan mutlak itu sebenarnya tidak tepat dan tidak berlaku, kerana mereka masih juga terikat dengan peraturan yang mereka buat sendiri. Kalau seseorang itu pergi ke pejabat pos untuk membayar bil elektrik, tiba-tiba ia melihat orang ramai sedang berbaris panjang menunggu giliran masing-masing untuk membayar bil-bil eletrik dan bil-bil air masing-masing, lantas kita terus ke kaunter bayaran tanpa mengikut giliran, atas nama kebebasan, sudah pasti kita akan dimarahi oleh mereka yang sedang berbaris panjang itu. Ini menunjukkan kita tidak mempunyai kebebasan yang mutlak, malah kebebasan kita terikat dengan peraturan yang dibuat.

Kalau dinilai atas nama kebebasan, maka seseorang itu boleh merogol isteri orang yang lalu lalang dihadapan suaminya dan suami tidak berhak melarangnya. Inilah yang dikatakan kebebasan sebenar, tetapi apa yang kita lihat ialah suami kepada wanita berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang merogol isterinya dan boleh jadi orang ramai yang menyaksikan kejadian itu akan turut memukulnya sehingga pengsan.

Jadilah jelaslah kepada kita melaksanakan hukum hudud murtad tidak dikatakan melanggar kebebasan seseorang, kerana kebebasan seseorang itu masih terikat dengan peraturan. Sebaliknya melaksanakan hukum hudud murtad tidak lebih dari menguatkuasakan undang-undang yang terdapat dalam agama Islam itu sendiri.
(Ayat yang dimaksudkan di dalam soalan adalah ayat 256, Surah Al Baqarah).
Ewan_sn
Dipaksa Murtad


Soalan:

Sekiranya seorang yang beragama Islam dipaksa keluar dari agama Islam atau sekiranya dia enggan,dia akan di bunuh. Apakah yang harus dilakukan olehnya? Adakah hal ini termasuk dalam hukum darurat dalam Islam?

Badariah, Shah Alam



Jawapan:

Berjuang menegakkan kebenaran merupakan tanggungjawab setiap umat Islam, apatahlagi berjuang mempertahankan aqidah Islamiyah yang telah tersemat didalam jiwa merupakan perkara yang wajib. Begitu ramai para sahabat Rasulullah SAW wafat diujung tombak lantaran mempertahan ketauhidan yang ada di dalam jiwanya. Walaupun mereka dipaksa agar meninggalkan ajaran Islam yang mulia dan jangan mengucapkan lagi akan kalimah tauhid namun mereka tetap dengan pendiriannya, akhirnya mereka mati dalam keadaan syahid memperjuangkan akidah dan keyakinannya.
Jika anda berhadapan dengan ancaman dan paksaan dari pihak tertentu yang memaksa anda agar keluar dari agama Islam maka menjadi kewajipan anda untuk mempertahankannya. Pertama, negara kita adalah negara merdeka yang memiliki hukum dan undang-undang yang menjaga hak setiap individu, maka segeralah melaporkan perkara ini kepada pihak yang berkenaan seperti jabatan agama Islam ataupun pihak polis. Kedua, anda juga boleh membuat pilihan yang bijak seperti memberitahukan hal ini kepada ahli keluarga ataupun berpindah dari tempat sekarang ke tampat yang lebih selamat dalam negara ini. Maka tidak timbullah istilah darurat jika masih ada alternatif lain yang dapat kita lakukan. Jangan biarkan orang kafir menguasai diri kita, kerana perkara itu hanya menjatuhkan martabat dan kemuliaan ajaran Islam sekaligus menjatuhkan ketinggian martabat keinsanan anda sendiri. Wallahu A'lam.


Ewan_sn
Suami telah memeluk agama Islam tetapi ingin menjaga isteri yg enggan memeluk Islam

Soalan :

Saya seorang saudara baru dan telah berkahwin sebelum saya memeluk Agama Islam. Soalan saya :

1. Apakah status perkahwinan saya selepas memeluk Islam? Sekiranya saya ingin terus menjaga isteri saya walaupun dia enggan memeluk Islam, adakah ia dibenarkan?

2. Saya bercadang untuk berkahwin dengan seorang gadis beragama Islam tetapi dalam masa yang sama saya masih ingin menjaga isteri saya yang telah saya kahwini sebelum saya memeluk Islam? Adakah ia dibenarkan oleh Islam dan adakah ini juga dianggap poligami dalam Islam? Apa yang perlu saya lakukan?

Saya juga ingin mengekalkan nama asal saya (bukan Islam) dalam myKad. Adakah ini dibenarkan?

Terima kasih.



Jawapan :

Assalamualaikum.



Menjawab pada soalan yang diajukan kepada pihak kami bagi soalan yang pertama berkenaan dengan status perkahwinan tuan selepas memeluk agama Islam. Mengikut hukum syarak, seseorang Muallaf yang telah memeluk Agama Islam secara automatiknya beliau akan terputus hubungan suami isteri sekiranya si isteri masih menganut agama asal. Walaubagaimanapun, agama Islam memberi keringanan kepada umatnya dengan memberi tempoh si suami memujuk si isteri supaya memeluk Agama Islam dalam tempoh 3 bulan 10 hari dari tarikh si suami memeluk Agama Islam.



Bagi menjawab soalan yang kedua, perlu difahami bahawa sekiranya si suami tidak berjaya memujuk si isteri memeluk agama Islam dalam tempoh yang diberikan (3 bulan 10 hari), si suami boleh menjaga si isteri tetapi bukan dengan tinggal serumah. Menurut hukum syarak, poligami yang dibolehkan ke atas si suami adalah kedua-dua isterinya perlu beragama Islam. Sekiranya isteri pertama bukan beragama Islam ia bukan di kira poligami dan tidak boleh tinggal bersama serumah bersama isteri kedua. Dalam masalah ini anda dibolehkan untuk menjaga bekas isteri anda yang pertama dalam tempoh 3 bulan 10 hari.



Soalan terakhir adalah berkaitan mengekalkan nama asal anda (bukan Islam) dalam myKad. Dalam undang-undang ia dibolehkan dan dalam Islam sendiri tidak melarang umatnya yang baru memeluk Agama Islam untuk mengekalkan namanya. Cuma ingin diberitahu di sini sekiranya tidak menukarkan nama kepada nama Islam, dikhuatiri akan memberi kesan dan boleh mengelirukan orang ramai berkaitan dengan nama anak yang dilahirkan. Contohnya : Mohammad Farid bin Lim Dong Cui, bukankah ia mengelirukan bagi mereka yang tidak mengetahui bahawa bapa kepada Mohammad Farid sebenarnya beragama Islam. Ia juga boleh mengelirukan berkaitan status agama di dalam myKad. Dimana bagi muallaf yang baru memeluk Islam haruslah menukarkan status agamanya (contoh: kristian) kepada Agama Islam. Dalam Islam sendiri nama yang dipanggil kepada seseorang itu merupakan doa baginya. Sekiranya tuan ingin mengekalkan nama (sebelum Islam) tidak mengapa, cuma digalakkan agar menukarkan nama dengan nama Islam bagi memudahkan sebarang urusan.



Bagi mendapatkan ulasan yang lebih terperinci berkaitan masalah tuan, tuan digalakkan supaya datang ke MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR, TINGKAT 8, BAHAGIAN PEMBANGUNAN INSAN, UNIT DAKWAH SAUDARA BARU, MENARA SELATAN, BANGUNAN SULTAN IDRIS SHAH, 40000 SHAH ALAM, SELANGOR, dan berjumpa dengan pegawai yang terbabit. wassalam.
Ewan_sn
Penukaran nama Islam di dalam kad pengenalan


Soalan

Bagaimanakah cara dan prosedur yang perlu dilakukan setelah seseorang yang telah memeluk agama Islam dan ingin memasukkan nama tersebut di dalam kad pengenalan yang sedia ada. Andaian nama asal ialah Chong Ah Ting dan nama Islamnya ialah Mohd. Razak ?


Jawapan :

Boleh menggunakan nama Islam sepenuhnya atau mengambil nama keluarga "Chong" dan digabungkan menjadi Mohd. Razak Chong bin Abdullah , atau boleh juga mengekalkan nama asal sepenuhnya kerana kad pengenalan baru ada menyebut agama Islam dibawahnya. Perkara ini boleh dibuat di JPN dengan membawa Kad Islam yang asal
Ewan_sn
Adakah harta boleh diwasiatkan kepada anak bukan Islam?

Soalan :

Saya seorang wanita berbangsa Cina yang sudah bercerai, mempunyai seorang anak perempuan berusia 3 tahun di mana saya telah diberi hak penjagaan penuh oleh Mahkamah. Bekas suami saya pula diberi hak melawat anak saya pada bila-bila masa.

Saya ingin tahu, jika saya ingin menganuti agama Islam, adakah anak saya juga akan dipaksa berbuat demikian? Dan jika dia tidak menganuti agama Islam, adakah saya tidak dapat mewasiatkan harta kepadanya kelak
?



Soalan :

Terima kasih kerana menghubungi pihak kami. Terlebih dahulu pihak kami mengucapkan tahniah atas hasrat puan untuk menganut agama Islam. Mudah-mudahan hasrat murni puan dimakbulkan Allah S.W.T dan dimasukkan puan ke dalam golongan orang-orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Berkenaan persoalan puan, Syarat memeluk Islam di Selangor ialah seseorang mesti berumur lebih daripada 18 tahun. Bagi seseorang yang berumur kurang dari 18 tahun hendaklah mendapat keizinan dari ibu bapa secara bertulis (rujuk pada perkara 117(cool.gif Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003). Memandangkan puan telah mendapat jagaan penuh oleh mahkamah, puan berhak untuk membuat keputusan tentang pengislaman anak puan. Ini kerana anak itu dilahirkan bersih (tiada dosa) maka ibu bapalah yang mencorakkan samada anak itu menganut Islam, Yahudi, Nasrani dan lain-lain... (maksud hadis Nabi).

Orang bukan Islam tidak boleh mendapat harta orang Islam samada secara wasiat atau fara'id. Walaubagaimanapun orang Islam boleh menghibahkan (menghadiahkan) hartanya kepada orang yang mereka sukai sama ada orang Islam ataupun bukan Islam. Puan boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan hibah melalui Amanah Raya Berhad atau Bank Commerce Berhad.

Pihak kami mengharapkan agar puan dapat membuat keputusan yang terbaik untuk diri serta anak puan. Sesungguhnya Islam itu indah, sekiranya kita mengkajinya dengan lebih terperinci dan menghayatinya. Semoga puan sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah S.W.T.
Ewan_sn
Mengekalkan Nama Asal Dalam Mykad


Soalan:

Assalamualaikum,

1. Bolehkah saya mengekalkan nama asal saya dalam mykad sesudah memeluk agama Islam?


Jawapan
Dalam undang-undang ia dibolehkan dan dalam Islam sendiri tidak melarang umatnya yang baru memeluk Islam untuk mengekalkan namanya. Cuma ingin diberitahu di sini sekiranya tuan tidak menukarkan nama kepada nama Islam, dikhuatiri akan memberi kesan dan boleh mengelirukan orang ramai berkaitan dengan nama anakyang dilahirkan.
Contohnya: Mohammad Farid bin Lim Dong Cui, bukankah ia mengelirukan bagi mereka yang tidak mengetahui bahawa bapa Mohamad Farid sebenarnya beragama Islam. Ia juga boleh mengelirukan berkaitan status agama di dalam Mykad. Di mana muallaf yang baru memeluk Islam haruslah menukarkan status agamanya di dalam Mykad (cth: Kristian) kepada agama Islam. Dalam Islam sendiri, nama yang dipanggil kepada seseorang itu merupakan doa baginya. Sekiranya tuan ingin mengekalkan nama asal tidak mengapa, cuma digalakkan menukarkan nama dengan nama Islam bagi memudahkan sebarang urusan.

Bagi mendapatkan ulasan lanjut yang lebih terperinci berkaitan dengan masalah-masalah tuan ini,tuan digalakkan supaya datang ke: Majlis Agama Islam Selangor,Tingkat 8, Bahagian Pembangunan Insan, Unit Dakwah Saudara Baru, Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor dan berjumpa dengan pegawai yang terbabit.

Sekian, Wassalam.

Ewan_sn
Status Perkahwinan Agama Asal Selepas Memeluk Agama Islam



Soalan :
Assalamualaikum,

1. Bagaimanakah status perkahwinan saya yang sediaada(isteri agama asal) selepas memeluk Islam?

2. Bagaimana jika isteri tidak berjaya dipujuk untuk memeluk Agama Islam? Bolehkah isteri pertama (bukan Islam) dibawa tinggal bersama isteri kedua yang beragama Islam?



Jawapan :



Soalan 1

1) Mengikut Hukum Syarak, seseorang muallaf yang telah memeluk Islam, secara automatiknya beliau akan terputus hubungan suami isteri sekiranya si isteri masih menganut agama asal dan begitu juga sebaliknya. Walaubagaimanapun , agama Islam memberi keringanan kepada umatnya dengan memberi tempoh si suami memujuk si isteri supaya memeluk agama Islam dalam tempoh 3 bulan 10 hari dari tarikh si suami memeluk agama Islam.



2) Perlu difahami sekiranya si suami tidak berjaya memujuk si isteri untuk memeluk Agama Islam dalam tempoh yang diberikan (3 bulan 10 hari), si suami boleh menjaga si isteri tetapi bukan dengan tinggal serumah. Menurut hukum syarak, poligami yang dibolehkan ke atas si suami adalah kedua-dua isterinya perlu beragama Islam. Sekiranya isteri pertama bukan beragama Islam, ia bukan dikira poligami dan tidak boleh tinggal bersama isteri kedua. Dalam masalah ini anda bolehlah menjaga bekas isteri anda yang pertama dalam tempoh 3 bulan 10 hari.


Bagi mendapatkan ulasan lanjut yang lebih terperinci berkaitan dengan masalah-masalah tuan ini,tuan digalakkan supaya datang ke: Majlis Agama Islam Selangor,Tingkat 8, Bahagian Pembangunan Insan, Unit Dakwah Saudara Baru, Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor dan berjumpa dengan pegawai yang terbabit.


Sekian, Wassalam.
Ewan_sn
Hubungan anak dengan ibubapa yang bukan Islam


Soalan:

Assalamualaikum wrm wrbt.

Saya ada soalan mengenai hubungan antara anak (lelaki) yang telah beragama islam dengan ibubapa yang tidak beragama islam.

Bolehkah anak tersebut makan masakan ibunya yang bukan islam sekiranya halal?

Bermalam dirumah ibunya yang didalamnya mengandungi berhala?

Setakat manakah tanggungjawab anak terhadap ibubapanya yang bukan islam?

Bolehkah membawa ibubapa yang bukan islam tinggal serumah?

Sekian Terima Kasih.


Jawapan.

Anak tersebut boleh makan masakan ibunya.

Anak tersebut adalah di haruskan/boleh bermalam di rumah ibunya walaupun di dalamnya mengandungi berhala.

Sebagai anak, wajib menunjukkan dan menunaikan tanggungjawab terhadap ibubapanya.

Adalah harus/boleh membawa ibu bapa yang bukan Islam itu tinggal bersamanya.

Ewan_sn
Pengenalan nama Islam di dalam kad pengenalan


Soalan

Bagaimanakah cara dan prosedur yang perlu dilakukan setelah seseorang yang telah memeluk agama Islam dan ingin memasukkan nama tersebut di dalam kad pengenalan yang sedia ada. Andaian nama asal ialah Chong Ah Ting dan nama Islamnya ialah Mohd. Razak ?




Jawapan

Boleh menggunakan nama Islam sepenuhnya atau mengambil nama keluarga "Chong" dan digabungkan menjadi Mohd. Razak Chong bin Abdullah , atau boleh juga mengekalkan nama asal sepenuhnya kerana kad pengenalan baru ada menyebut agama Islam dibawahnya. Perkara ini boleh dibuat di JPN dengan membawa Kad Islam yang asal.

Ewan_sn
Memeluk Islam secara rahsia


Soalan

Saya seorang muallaf, memeluk Islam secara rahsia kerana itu saya terpaksa balik ke rumah orang tua saya di Tahun Baru Cina.
Apakah hukum saya menziarahi kedua orang tua saya?


Jawapan

Hukum anda menziarahi orang tua anda yang tidak masuk Islam, tidak ada-ada apa halangan dari segi hukum syarak, asalkan anda dapat mengawal makan minum anda kepada perkara-perkara yang halal sahaja. Dan anda boleh meneruskan kebaktian anda kepada orang tua anda dengan memberi wang umpamanya.

Ewan_sn
Prosedur memeluk Islam dan berkahwin bagi warga asing


Soalan

Assalamualaikum,

Saya mempunyai seorang rakan dari Rusia yg ingin mempelajari agama Islam di Malaysia dan setelah selesai itu, beliau akan memeluk agama Islam. Dia ingin mengahwini saya. Apakah prosedur untuknya? Dari segi hal-hal memeluk agama Islam dan proses perkahwinan.


Jawapan
Di sini kami nyatakan jawapan bagi persoalan diatas.

Proses Pengislaman

Bagi seorang yang ingin memeluk agama Islam ada beberapa perkara yang perlu disediakan :

1. 4 keping gambar berukuran passport.
2. Bukti pengenalan diri yang asal (kad pengenalan/ passport).
3. Menyediakan 2 orang saksi lelaki yang mengenali diri pemohon.

Setelah perkara di atas di penuhi maka pemohon bolehlah pergi ke mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran dengan tempat tinggal pemohon atau boleh terus datang ke Bahagian Pembangunan Insan, Tingkat 8, Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam.

Proses Permohonan Nikah.

Bagi seorang individu lelaki yang ingin memohon untuk berkahwin di Selangor ada beberapa perkara yang perlu dilakukan :

Ambil Borang Permohonan Kebenaran Berkahwin Lelaki di Pejabat Agama Islam daerah tempat tinggal (Borang 1A).

Sediakan Salinan Kad Pengenalan pemohon dan dua orang saksi lelaki atau salinan passport (jika warganegara asing) - bawa bersama salinan asal.

Dapatkan surat pengesahan pemastautin (pengesahan tempat tinggal) di pejabat Agama ( Jika alamat dalam kad pengenalan berbeza dengan alamat permastautin- tempat tinggal).

Sediakan salinan sijil atau resit pendaftaran Kursus Pra Perkahwinan atau Surat Pengesahan Hadir Kursus - bawa bersama salinan asal. Kelonggaran boleh diberikan dalam keadaan-keadaan seperti berikut :
Berumur melebihi 40 tahun
Cacat anggota tertentu
Duda
Warganegara Asing


Sediakan salinan surat perakuan cerai atau surat kematian pasangan ( Jika pemohon duda ) - bawa bersama salinan asal.

Sediakan salinan surat atau Kad Perakuan Islam ( Jika pemohon saudara baru ) - bawa bersama salinan asal.

Bawa surat kelulusan daripada Kor Agama Angkatan Tentera ( Jika pemohon anggota tentera ).

Bawa surat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia ( Jika pemohon anggota polis).

Bawa salinan borang permohonan pemohon lelaki yang bernikah luar daerah atau luar Negeri Selangor.

Kebenaran berkahwin daripada Konsulat atau Kedutaan atau Imigresen atau pihak berkuasa negara berkenaan ( Jika pemohon warganegara asing ).

Perkara 2, 3, 5 dan 6 boleh dikecualikan mengikut budi bicara KP* atau PTA* dalam keadaan tertentu. Manakala perkara 10 hanya boleh diberi oleh KP.
KP* - Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam.

PTA* - Pegawai Tadbir Agama - Pegawai yang sama melaksanakan tugas sebagai Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sekiranya masih lagi mempunyai pertanyaan atau permasalahan boleh menghubungi kami di talian 03- 55143521 atau datang terus ke Pejabat kami di alamat Bahagian Pembangunan Insan, Tngkat 8, Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam atau boleh ke mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan.

Sekian, Wassalam.



Ewan_sn
CADANGAN GARIS PANDUAN PEMBINAAN RUMAH-RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM



1. Latar Belakang


1.1 Malaysia adalah sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada berbagai bangsa dan agama. Mengikut Perlembagaan Negara dalam Perkara 3 Agama Islam ialah Agama bagi negara tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian di Malaysia. Peruntukan ini adalah hasil persetujuan yang dicapai dikalangan rakyat Islam dan bukan Islam di negara ini bagi menjamin negara mendapat kemerdekaan dari British. Persetujuan ini juga dibuat secara sedar oleh rakyat dan pemimpin negara ini di masa itu memandangkan salah satu syarat yang dikenakan oleh British untuk mendapat kemerdekaan ialah keharmonian beragama di negara ini. Agama Islam telah dijadikan agama negara di dalam Perlembagaan Negara ini dan diterima oleh semua rakyat menunjukkan kedudukan Islam pada masa itu dipersetujui sebagai suatu penganut yang dominan.


1.2 Sejak merdeka semangat inilah yang telah menjadi faktor utama di dalam mengekalkan stabiliti perhubungan antara kaum di negara ini. Setelah tiga puluh tahun mencapai kemerdekaan, negara telah berkembang dengan begitu pesat. Di antara kemajuan yang dicapai oleh negara ialah berkembangnya industri perumahan. Terdapat banyak kawasan-kawasan perumahan telah dibuka oleh pemaju-pemaju swasta dan separuh kerajaan. Berkembangnya industri perumahan ini telah menimbulkan masalah pembinaan rumah ibadat bukan Islam sehingga menjadi satu isu yang serius. Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri telah banyak menerima aduan tentang rumah-rumah ibadat bukan Islam yang didirikan di tempat-tempat yang tidak sesuai sehingga boleh ditafsirkan pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam tersebut mencemar dan mencabar kedudukan Islam dan umatnya di negara ini.


1.3 Sebenarnya masalah pembinaan rumah ibadat bukan Islam ini telahpun dibincangkan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke 12 pada 21 22 Januari 1985. Bagi mengatasi masalah di atas berikut ini diperturunkan cadangan garis panduan membina rumah-rumah ibadat bukan Islam berdasarkan keputusan muzakarah tersebut.


2. Cadangan Garis Panduan


2.1 Dengan mengambil ingatan agama Islam adalah agama negara dan agama lain boleh diamalkan dengan aman damai berdasarkan Perkara 3 di dalam Perlembagaan Negara, maka adalah disyorkan garis panduan seperti berikut:


2.1.1
Sekiranya mereka (orang-orang bukan Islam) hendak mendirikan rumah ibadat mereka di atas tanah yang mereka miliki boleh dibenarkan dengan syarat tapak tersebut terletak di dalam kawasan majoriti penduduk bukan Islam mengikuti keperluan penganut agama mereka.


2.1.2
Semua permohonan bagi pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam hendaklah dirujukkan kepada Majlis Agama Islam Negeri bagi mendapatkan pandangan serta apa-apa keputusan mengenainya.


2.1.3
Pihak Berkuasa Tempatan yang hendak meluluskan pembinaan rumah ibadat bukan Islam hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan/pandangan jawatankuasa kemajuan kampong di mana rumah ibadat tersebut hendak didirikan.


2.1.4
Permohonan orang-orang bukan Islam untuk membina rumah ibadat mereka di kawasan majoriti orang-orang Islam tidak boleh dibenarkan walaupun di atas tapak kepunyaan mereka.


2.1.5
Pihak berkuasa tempatan hendaklah benar-benar mempastikan jumlah bilangan penduduk bukan Islam di kawasan berkenaan sebelum meluluskan sebarang permohonan rumah ibadat bukan Islam. Ini adalah untuk mempastikan pembinaan rumah ibadat tersebut benar-benar memenuhi keperluan penduduk berkenaan.


2.1.6
Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah bertindak tegas terhadap rumah-rumah ibadat bukan Islam yang didirikan tanpa kebenaran ataupun yang didirikan di atas tapak yang tidak diluluskan oleh Kerajaan.


2.1.7
Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah mempastikan jarak di antara sebuah rumah ibadat dengan sebuah rumah ibadat yang lain tidak kurang daripada 1 kilometer. Jarak minima ini hendaklah dikenakan kepada semua rumah ibadat sama ada rumah ibadat Islam ataupun sebaliknya.


3. Penutup


Masalah pembinaan rumah-rumah ibadat ini adalah masalah sensitif dan pihak berkuasa hendaklah bertindak tegas berdasarkan kepada panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Kegagalan melaksanakan prinsip ini adalah ditakuti akan mencetuskan perkara-perkara yang akan mengugat kestabilan perpaduan kaum di negara ini.



Bahagian Hal Ehwal Islam

Jabatan Perdana Menteri

Kuala Lumpur

17 Julai 1987


Ewan_sn
Urus mayat bapa bukan Islam


SOALAN:
Ayah mertua saya seorang Kristian dan dia tinggal bersama saya dan isteri (anak angkat). Apabila dia meninggal dunia tempoh hari, saya telah bertanya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak mengenai perkara yang patut saya buat.

Kata mereka, saya boleh uruskan asalkan tidak mengikut cara penganut Kristian mengurus mayat. Mayat berada di rumah selama dua malam disebab kekurangan kakitangan pihak gereja untuk menguruskan pengkebumian pada hari berikutnya.

Malam sebelum upacara pengkebumian diadakan upacara menghormati jenazah (ini merupakan upacara yang mesti mereka laksanakan mengikut adat Iban dengan berwakilkan beberapa orang yang tahu latar belakang si mati dengan mengimbas kembali segala kebaikan yang telah si mati lakukan semasa hidupnya).

Ini semuanya dilakukan di rumah kami. Saya telah mendapat bantuan rakan Kristian membantu pengurusan mayat tapi segala perbelanjaan adalah ditanggung oleh kami.

Sembahyang mayat dilakukan di sebuah gereja yang berhampiran kemudian terus ke tanah perkuburan. Masalah mulai timbul apabila saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak berkuasa agama mengenai pemasangan lilin dan meletakkan jambak bunga di pusara si mati. Mereka memberitahu saya ia haram, si mati hanya mempunyai isteri saya sahaja yang tinggal sanak saudara isteri semuanya menjauhkan diri dan abang angkat isteri memang tidak ingin mempunyai hubungan dengan si mati.

Demi perikemanusiaan saya isteri tetap juga menziarahi kubur si mati pada masa-masa tertentu. Apakah pendapat ustaz tentang kemusykilan yang saya hadapi ini?


JAWAPAN:

Dalam Islam kita sangat dituntut menghormati antara satu dengan yang lain, lebih-lebih lagi agama Islam adalah agama rahmat, pastinya setiap orang yang bergaul dengan kita beroleh kebaikan dari limpahan rahmat agama Islam itu sendiri.

Melalui apa yang saudara ceritakan, saya percaya tindakan saudara tidak melanggar syariat Allah SWT. Sebelum bertindak saudara telah pun mendapatkan pandangan dari Jakim Sarawak dalam mendapatkan penjelasan apa yang boleh dibuat dan apa yang perlu dielak.

Berdasarkan kepada panduan, saudara telah menguruskan jenazah ayah mertua mengikut cara orang Kristian dan diuruskan sendiri oleh orang Kristian. Tidak ramai yang memahami cabaran yang dihadapi oleh saudara beserta ahli keluarga Islam yang lain. Lebih-lebih lagi bila ahli keluarga kita masih beragama selain Islam.

Biarpun kita telah mendapat hidayah menganut agama Islam, ini tidak bererti kita telah putus perhubungan anak-beranak atau adik-beradik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (al-'Ankabut: dirol.gif.

Dalam konteks ayat ini, Allah SWT memerintahkan seseorang yang telah menganut Islam supaya berbuat baik kepada ibu bapa mereka selagi mereka tidak menyuruh melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT.

Bagi saya, menguruskan jenazah ibu bapa yang tidak beragama Islam juga merupakan tanggungjawab serta penghormatan seorang anak kepada kedua ibu bapanya.

Apatah lagi, Islam melalui al-Quran dan pedoman rasul-Nya sangat menuntut kita berakhlak mulia dengan setiap manusia. Dalam sirah kehidupan Baginda, Rasulullah juga berbuat baik kepada bapa saudaranya Abu Talib, baginda juga mendampinginya ketika nazak sambil mengajak Abu Talib kepada Islam.

Hadis lain yang menggambarkan kewajipan berihsan dan melayan baik kedua-dua orang tua meskipun berlainan agama ialah yang diriwayatkan daripada Asma' Abu Bakar r.a. maksudnya: Pada zaman Rasulullah SAW ibuku yang masih musyrik suatu hari datang mengunjungiku. Lalu aku meminta fatwa daripada Rasulullah: "(Ibuku datang) dalam keadaan senang hati, apakah aku masih perlu meneruskan hubunganku dengan ibuku?" Baginda SAW bersabda: "Ya, teruskanlah hubunganmu dengan ibumu (seperti biasa)". (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil ini, seseorang anak perlu meneruskan hubungan yang baik dengan ibu bapa yang bukan Islam sungguhpun anak dan ibu bapa berlainan agama.

Oleh itu, apabila berbicara dengan mereka, si anak hendaklah berbicara dengan lemah lembut, penuh sopan santun dan menunjukkan rasa mahabbah. Apabila memanggil mereka, panggillah dengan perkataan yang menyedapkan hati mereka.

Berilah mereka petunjuk pada perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan seperti mana panduan Islam dalam bab ini.

Sudut kemanusiaan

Kita tidak mahu Islam dituduh sebagai agama yang memisahkan hubungan anak-beranak atau adik beradik. Kita harus tonjolkan bahawa Islam tidak membenci penganut agama lain malahan dari sudut kemanusiaan kita adalah sama biarpun yang memisahkan kita ialah pegangan hidup.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun bermaksud: Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (al-Kafirun: 6)

Apa yang penting dalam kita bergaul dengan saudara mara, kenalan dan sahabat handai ialah kita tidak menyembah apa yang dia sembah serta mengelakkan perkara-perkara yang melibatkan hal-hal yang bertentangan dengan ajaran agama Islam terutamanya dalam bab akidah.

Persoalan meletakkan bunga di pusara bapa mertua dan hukum berkaitan dengannya; adalah lebih baik jika saudara tidak melakukan upacara membakar lilin dan meletakkan bunga di kubur mereka yang bukan Islam biarpun di kubur ibu atau ayah sendiri.

Walaupun dari segi zahirnya tidak kelihatan apa-apa yang bertentangan dengan Islam tetapi ia juga boleh membawa fitnah dari sudut kaitannya dengan budaya agama lain atau upacara etnik tertentu yang boleh mengelirukan status Muslim saudara.

Ziarah kubur ayah mertua yang bukan Islam tidak salah, hanya sekadar ziarah dan bukan melakukan acara-acara ritual keagamaan yang lain terutama yang boleh dikaitkan secara khas dengan ajaran agama tertentu selain agama Islam.
Ewan_sn
Khatan bukan paksaan bagi saudara baru
Ustaz Zamanuddin Jusoh



Soalan :

SAYA mempunyai seorang sahabat yang ingin memeluk Islam, lalu dia mengucapkan ucapan syahadat di hadapan saya. Selepas itu saya mengarahkannya supaya mandi. Apakah tindakan yang saya ambil itu betul dan apakah dia sudah menjadi seorang Muslim. Bagaimana dengan khatan?

Izham
Kuala Lumpur





Jawapan :

MENGUCAP dua kalimah syahadat adalah syarat seseorang untuk memeluk Islam. Tindakan yang saudara lakukan adalah betul kerana perkara yang baik itu perlulah dipercepatkan. Namun demikian adalah lebih baik jika sahabat saudara itu dibawa bertemu imam di masjid terdekat dan menyatakan hasratnya itu.

Jika ucapan syahadat di hadapan saudara dengan bersaksi, maka Muslimlah dia secara tidak rasmi.

Mengikut susunan terbaik ialah diatur supaya berkhatan, mandi dan mengucap dua kalimah syahadat di hadapan beberapa saksi.

Sebuah hadis daripada seorang sahabat bernama Qais bin A'sim meriwayatkan: "Aku telah datang kepada Rasulullah SAW menyatakan ingin memeluk Islam. Maka disuruhnya aku mandi dengan air bercampur daun sidr (daun harum). (HR Abu Daud dan Nasa').

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan dari Khallal dari Syaddad bin Aus bermaksud: "Berkhatan itu sunat bagi lelaki dan bagi perempuan adalah satu kemuliaan.

Soal berkhatan pada masa kini boleh diberi masa untuk beliau berfikir dulu tanpa dipaksa. Apa yang penting ialah saudara perlu

memastikan beliau mengucapkan kalimah syahadah terlebih dulu kerana dibimbangi jangka hayatnya tidak panjang.

Selepas mandi dan mengucap syahadah, maka dia boleh mendaftarkan diri di pejabat agama berdekatan dan mengikuti program yang dianjurkan oleh pihak jabatan bagi memberi kefahaman penuh mengenai agama Islam kepada beliau.

Mengikut kebiasaan yang sering berlaku, selepas mengikuti beberapa kursus barulah mereka ini rela untuk dikhatankan. Ada juga yang sudah berkhatan sejak kecil. Wallahu A'lam.

Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi dengan e-mel, zaman@nstp.com.my
This is a "lo-fi" version of our main content. To view the full version with more information, formatting and images, please click here.
Invision Power Board © 2001-2014 Invision Power Services, Inc.