Help - Search - Members - Calendar
Full Version: Persoalan Puasa Dan Hari Raya Puasa
Mesra.net Forum > Social & Societies > Hal Ehwal Islam > Soal - Jawab Agama
Pages: 1, 2
ouyangfeng
QUOTE(NorhudaMohammed @ Apr 24 2009, 08:47 AM) *
apa yang perlu saya buat kalau saya dah niat untuk puasa ganti, tapi tiba-tiba saya membatalkan puasa itu dengan sengaja kerana tak larat atau sebagainya?
adakah saya perlu menggantikan puasa itu dengan 2 hari puasa yang sama? unsure.gif

tidak perlu...hanya mengganti dengan sehari puasa yg ditinggalkan.
ouyangfeng
Qada Puasa Semasa Istihadah


Soalan :

QUOTE(suasana @ May 25 2009, 10:39 AM) *
bolehkah qada puasa semasa dalam istihadah? takut tak sempat nak qada sbb dah lewat, dan tak tau bila istihadah akan tamat. ada perkara lain ke yang terbabit masa qada puasa dalam istihadah, (cth tak boleh guna satu wudu' utk dua waktu solat. )



Jawapan :

dibolehkan puasa qadha' bagi yg beristihadhah kerana yg menghalang daripada wajib / sunat berpuasa hanyalah haid dan nifas.

Rujukan:

-Badai’ Sanaie 1/161 (mazhab Hanafi)

-al-Talqin m/s 73 (mazhab Maliki)

-al-Majmuk 2/417 (Mazhab Syafie)

-Fatwa Lajnah Daemah no: 6495, m/s 5/404.

soalan kedua tidak berapa difahami. Adakah dimaksudkan semasa puasa qadha' istihadhah, hanya boleh mengguna wudhuk untuk satu waktu solat sahaja?

jika itu maksudnya, maka ianya tidak berkaitan dengan puasa qadha'. Ini kerana, dlm keadaan tidak berpuasa sekalipun, solat bagi wanita istihadhah hanya terpakai wuduknya untuk satu waktu solat sahaja.
ouyangfeng
QUOTE(Edirossa @ Sep 27 2008, 01:11 AM) *
Perkara yang tidak membatalkan puasa
Oleh Muhamad Adib Mohamed Saat
Utusan Malaysia

Percayakah anda ketika anda berpuasa anda masih boleh melakukan hal-hal berikut?

- Anda boleh mengorek hidung, telinga dan lain-lain rongga. Sungguh hairan apakah kaitannya mengorek hidung atau telinga dengan berpuasa. Tidak pastilah kalau ada di kalangan kita yang mengorek hidung atau telinga lalu terasa kenyang. Sesungguhnya tiada dalil yang mengatakan batalnya puasa kerana memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan. Sekiranya tiada dalil, maka tiadalah hukum makruh atau lain-lain terhadapnya.


Menurut pendapat yang muktamad dikalangan fuqahak Syafie adalah tidak membatalkan puasa dengan sebab memasukkan suatu kedalam hidung atau telinga melainkan sampai kepada had batin.

Menurut satu pendapat had batin bagi hidung ialah melepasi tulang hidung dan had batin bagi telinga pula ialah sampai kepada gegendang telinga.

Ini bermakna mengorek hidung (dalam kefahaman kita sendiri bukan setakat dibibir hidung) atau telinga (bukan setakat di cuping, bahkan kadang2 sampai ke gegendang) boleh jadi membatalkan puasa. Ini menurut qaul yg muktamad dlm mazhab syafie.

QUOTE
- Anda tidak perlu risau untuk berendam di dalam kolam sepanjang waktu di siang hari ketika Ramadan kerana ia tidak makruh dan tidak membatalkan puasa. Lihatlah riwayat hadis yang sahih ini. Seorang sahabat berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa, kerana dahaga atau kepanasan”. (Riwayat Abu Daud: 2365, disahihkan oleh Sheikh Nasiruddin Al-Bani di dalam Sahih Sunan Abu Daud)


hadis ini hanya menerangkan keharusan mandi (disebut menjirus air di kepala, bukan merendam). Sekiranya menyelam dan berendam lalu terkentut, ditakuti air akan memasuki rongga dubur...perkara ini membatalkan puasa. maka sebab itu hukumnya adalah makruh.

QUOTE
- Anda boleh makan walaupun waktu Imsak telah masuk iaitu lebih kurang 10 minit sebelum waktu subuh. Anda hanya perlu berhenti makan apabila diyakini telah masuk waktu subuh. Rasulullah bersabda: “Fajar ada dua jenis, fajar yang apabila ia tiba, haram untuk makan dan dibolehkan melakukan solat (fardu subuh) dan fajar yang apabila ia tiba, kamu tidak dibolehkan melakukan solat (solat subuh) dan dibolehkan makan.” (riwayat Al-Hakim dan Ibn Khuzaimah).


makan pada waktu imsak adalah makruh. kerana ditakuti akan terlajak makan tanpa disedari telah masuk waktu subuh.

Diriwayatkan daripada Anas r.anhu daripada Zaid bin Tsabit r.anhu “Kami pernah makan sahur bersama Nabi s.a.w. Setelah itu Baginda segera menunaikan solat .” Aku tanyakan, “Berapa lama jarak antara azan dan sahur?” Dia menjawab, “Kira-kira sama seperti (panjangnya) bacaan 50 ayat al-Qur’an”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

QUOTE
- Sekiranya anda telah meyakini bahawa telah masuk waktu subuh dan ada lagi makanan atau minuman yang tinggal di dalam mulut anda. Anda boleh menelan dan menghabiskannya tanpa perlu dikeluarkannya dari mulut anda.


berdasarkan ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah : 187, kalimah "hatta yatabayyana" (sehingga jelas) - yg membawa pengertian, dibenarkan untuk makan dan minum sehinggalah jelas 'benang putih' (cahaya siang) dari 'benang hitam' (kegelapan malam) yg menandakan masuknya waktu subuh. jadi, menelan makanan di dalam mulut selepas meyakini telah masuk waktu subuh hukumnya haram dan membatalkan puasa.

QUOTE
- Anda tidak perlu melafazkan niat seperti Nawaitu Sauma Ghadin… kerana Nabi Muhammad S.A.W. tidak pernah mengajarkannya. Niat itu tempatnya di hati. Apabila anda bangun sahur, ia membuktikan anda sudah berniat untuk berpuasa. Jika tidak, buat apa anda hendak bangun bersahur.


niat itu perlukan qasad (kehendak) dan ta'yiin (penentuan). maka, sebab itu Imam Nawawi mensunatkan menzahirkan lafaz niat (dengan tujuan menghadirkan qasad dan ta'yiin) kerana boleh saja seorg yg bangun sahur (dalam keadaan mamai) menganggap bahawa dia sedang makan malam atau bersarapan pagi. atau dia terlintas berpuasa namun tidak dita'yiinkan puasa itu sebagai puasa fardhu. maka niatnya itu tidak sah. maka, yg selamat adalah mengikut saranan Imam Nawawi td.

QUOTE
- Tidak makruh untuk anda menggosok gigi pada siang hari sepanjang bulan Ramadan sama ada dengan kayu siwak atau dengan berus gigi.


Sabda Nabi s.a.w. "Sempurnakan wudhu' , basuhlah celah-celah jari jemarimu , dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; sahih)

Kebiasaannya ulamak mazhab meletakkan istinsyaq (menyedut air ke dalam hidung) dan istisyar (berkumur2) dalam satu bab. Bermakna, menyedut air ke dalam hidung dan berkumur2 adalah makruh jika dilakukan ketika berpuasa.

Sabda Nabi s.a.w. "Sesungguhnya demi Yang jiwa Muhammad itu di tangan-Nya bahawa bauan mulut mereka yang berpuasa itu di hari akhirat lebih harum di sisi Allah dari wangian kasturi dan bagi mereka yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui tuhannya.." (HR Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151).

Ini juga menjadi dalil kebanyakan ulamak mazhab Syafie untuk memakruhkan mereka yg bersugi ketika berpuasa (pengkhususan selepas waktu zuhur) kerana bersugi itu akan menghilangkan bau mulut org berpuasa.

QUOTE
- Anda juga dibenarkan mandi dan berenang. Sekiranya anda telah menelan air secara tidak sengaja, maka ia tidak membatalkan puasa. Menurut kebanyakan ulama, berenang dibenarkan ketika berpuasa manakala menyelam tidak dibenarkan kerana ia akan menyebabkan air masuk ke dalam mulut dan hidung lalu sampai ke perut.


jika diqiaskan kepada hukum keluar mani tanpa sengaja, maka ianya tidak membatalkan puasa. Namun, jika kita sengaja sama ada dengan melakukan onani, atau melihat gambar lucah (sesetengah org boleh terkeluar mani hanya dengan berkhayal), maka ketika itu batal puasanya.

Jika diyakini bahawa dengan berenang akan menyebabkan air memasuki mulut dan kemungkinan ianya boleh tertelan, maka ketika itu haram dia berenang. Jika dia cuma
mengesyaki kemungkinan dia akan tertelan air jika berenang, maka ketika itu hukumnya jatuh pada makruh.

QUOTE
- Anda boleh menggunakan wangi-wangian, memakai kanta sentuh atau menggunakan ubat titik ke dalam mata.

- Anda dibenarkan untuk mengambil suntikan yang bermotifkan untuk rawatan dan perubatan. Bukannya suntikan yang mengambil peranan makanan dan minuman iaitu suntikan untuk memberikan tenaga dan kekuatan kepada anda.

- Anda boleh pergi untuk memeriksa dan menderma darah.

- Anda boleh makan dan minum dengan tidak sengaja. Ini berdasarkan suatu hadis yang bermaksud: Umat Islam tidak akan dipertanggungjawabkan atau diampunkan sekiranya melakukan perkara dalam keadaan tersilap, dalam kedaan terlupa dan dalam keadaan terpaksa. (Muttafaq ‘Alaih)

- Sekiranya anda tertidur di siang hari dan bermimpi yang menyebabkan keluar air mani, ia tidak membatalkan puasa.

- Sekiranya anda melakukan hubungan kelamin dan tidak mandi junub sebelum fajar menyinsing, puasa anda masih sah dan tidak batal dan anda dibenarkan untuk mandi junub selepas waktu fajar.

- Sekiranya haid anda tamat pada malam hari, anda boleh berpuasa keesokan harinya walaupun anda mandi junub selepas waktu fajar.

Dalam kedua-dua kes yang di atas, kewajipan mandi junub tetap kekal kepada mereka tetapi berpuasa tidak akan batal dan terkesan dengan ketidaksempatan untuk mandi junub sebelum waktu fajar.

- Anda boleh berciuman dengan suami atau isteri anda ketika berpuasa, tetapi anda perlu mengelakkannya supaya tidak membawa kepada benda yang diharamkan di dalam bulan Ramadan iaitu hubungan kelamin.

Maklumat di atas disebut oleh para ulama seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam Fiqh as-Siyam, Ibn Hazm, Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Ibn Uthaymin dan lain-lain.

MUHAMAD ADIB MOHAMED SAAT dari Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

ada beberapa perkara memerlukan penelitian. insyaAllah, saya akan bahaskan nanti
Ewan_sn
WAKTU BERBUKA PUASA BAGI MEREKA YANG BERADA DI UDARA

As-syeikh Dr. Yusuf Al-qaradawi, ketua persatuan ulamak seduni telah mengeluarkan fatwa pada hari ahad lepas mengenai penentuan waktu berbuka puasa bagi orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang.



Beliau menyatakan bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka ini adalah ketika jatuhnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka, iaitu bukan mengikut negara yang ia berada di atasnya.

Mengikut fatwanya, setiap penumpang-penumpang kapal terbang yang ingin berbuka puasa, waktunya tidak boleh mengikut negara yang mereka bertolak daripadanya dan juga tidak boleh mengikut negara yang ditujukannya dan juga negara yang ia berada atasnya. Akan tetapi waktunya ialah ketika hilangnya matahari daripada penglihatan mata lender meraka.
Ewan_sn
Pengertian Aidilfitri Dalam Islam


Soalan :

BOLEHKAH ustaz memberi penjelasan mengenai sambutan Aidilfitri seperti ditetapkan agama kita? Selain saling bermaafan, apakah lagi bentuk amalan lain yang boleh dilakukan? Bagaimana dengan amalan menitikberatkan soal pemberian duit raya yang keterlaluan, sehingga meneng-gelamkan maksud Syawal yang sebenarnya. Apakah hukum memberi duit raya mengikut Islam?

INGIN TAHU,

Alor Setar, Kedah.



Jawapan :

MENGKAJI sejarah Aidilfitri dan Aidiladha, ulama hadis menerangkan sebuah riwayat dari Anas bin Malik, apabila Nabi SAW sampai ke Madinah, orang-orang Ansar merayakan dua hari perayaan iaitu Nairus dan Mahrajan. Menurut penjelasan dari kitab Aunul Ma’bud kedua-dua hari mereka bergembira ini ditetapkan oleh pihak berkuasa pada masa itu. Lalu Nabi SAW dengan wahyu dari Allah SWT sudah menukarkan kedua-duanya kepada Aidilfitri dan Aidiladha. Nabi bersabda yang bermaksud: “Aku datang kepadamu sedangkan kamu menyambut dua hari raya yang menjadi hari kamu bergembira pada zaman jahiliah, maka Allah SWT sudah menggantikannya kedua-duanya dengan Aidilfitri dan Aidiladha.”

Menurut Syeikh Ahmad Ab Rahman al-Banna, maksud gantian ini disyariatkan oleh Allah SWT kerana kedua-duanya berkaitan secara langsung selepas pelaksanaan dua rukun Islam yang penting iaitu ibadat puasa selama sebulan sepanjang Ramadan dan haji yang dilakukan pada waktunya. Penetapan ini turut mengambil kira kecenderungan hamba-Nya yang gemar bergembira, maka dianugerahkan kegembiraan itu. Anugerah itu diberikan selepas berusaha sedaya upaya mentaati-Nya.

Dalam hadis yang lain yang turut mengukuhkan aspirasi raya sebagai suatu kegembiraan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bagi setiap Muslim yang berpuasa baginya dua kegembiraan iaitu kegembiraan bila dia berbuka dan kegembiraan bertemu dengan Allah SWT (Riwayat Muslim). Maksud berbuka dalam maksud yang lebih luas seperti yang difahami sebahagian ulama adalah berhari Raya.

Antara amalan yang menjadi amalan Nabi SAW dalam menyambut hari raya adalah seperti berikut:

l Menghadiri Solat sunat Aidilfitri secara berjemaah dan mendengar khutbah. Al-Imam al-Syaukani menjelaskan dalam Nailul Awtar, Nabi SAW sentiasa mengerjakan solat sunat berkenaan dan tidak pernah meninggalkannya. Malah baginda telah memerintahkan umatnya untuk mengerjakannya, termasuk hamba dan wanita yang haid pun digalakkan untuk menyaksikan solat itu dikerjakan oleh umat Islam.

l Mandi sebelum solat Sunat Aidilfitri. Menurut Said bin al-Musayyib mengatakan, sunnah sebelum solat itu ia merangkumi tiga perkara iaitu mandi sebelum solat sunat Aidilfitri, makan sebelum pergi solat dan pergi dengan berjalan kaki. (Riwayat al-Firyabi dengan sanad yang sahih seperti yang dijelaskan dalam Irwaul Ghalil)

l Berhias diri dengan cara yang dibenarkan tanpa mendedahkan aurat dan memakai pakaian dari buatan yang diharamkan. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathil Bari bahawa sahabat seperti Ibn Umar akan memakai pakaian yang paling baik pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Maka menjadi suatu yang dituntut agar umat Islam memakai pakaian yang elok pada kedua hari ini. Bagaimanapun hendaklah dijauhi pakaian-pakaian yang dibuat dari bahan yang haram seperti sutera kerana dalam sebuah hadis yang lain apabila Umar memberikan untuk nabi pakaian dari sutera untuk dipakai pada hari Raya, maka Nabi SAW dengan tegasnya bersabda: “Pakaian ini adalah pakaian untuk orang yang tidak berakhlak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

l Makan sedikit sebelum pergi ke tempat solat. Perkara ini berdasarkan sebuah hadis sahih dari Anas, bahawa Nabi SAW tidak akan berangkat ke tempat solat pada hari Aidilfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma terlebih dulu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

l Memperbanyakkan takbir. Menurut sebuah riwayat dari Ibn Abi Syaibah dari Musannafnya Nabi SAW akan berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha, dan baginda akan bertakbir hingga sampai ke tempat solat, malah akan sibuk bertakbir dengan nyaring hingga solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha itu. Baginda Cuma akan berhenti sejurus sebelum memulakan solat sunat berkenaan.

l Mengucapkan tahniah kepada setiap Muslim yang ditemui dengan ucapan: “TaqabbalalLahu minna wa minkum yang bermaksud, semoga Allah SWT menerima amal salih yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Kata Ibn Hajar dalam kitabnya al-Mahamiliyyat dan Fathul Bari, ini adalah ucapan selamat yang paling sahih yang ditemui dalam riwayat-riwayat dari Nabi SAW.

Berkaitan dengan perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu dengan memberikan wang pada hari Raya ia hanyalah suatu amalan tradisi yang harus dilakukan.

Ini bergantung kepada niat seseorang, sama ada dia menghulurkan wang itu sebagai hadiah ataupun sedekah. Apa juga niat yang disematkan moga-moga ia termasuk dalam kebajikan yang dinyatakan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 215 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

Menurut Ibn Kathir dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir sebuah riwayat dari Muqatil bin Hayyan, ayat ini menjelaskan keutamaan infaq ataupun belanja, saluran manakah yang harus diutamakan. Ayat ini ditutup dengan ingatan bahawa segala kebaikan yang dikerjakan, pasti akan dibalas oleh Allah SWT dengan kebaikan kerana Dia tidak akan menzalimi hamba-Nya, meskipun kebaikan itu hanyalah sebesar zarah saja.

Cuma penting bagi ibu bapa agar menjelaskan kepada generasi anak-anak kepentingan menjadi insan yang mulia yang menjauhi budaya meminta-minta. Mereka perlu diperjelaskan tentang ingatan Nabi SAW yang bermaksud: “Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ewan_sn
....Rencana


Puasa tetapi tidak solat?
Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM




SOLAT adalah ibadat yang wajib dilakukan sama ada dalam keadaan sihat atau sakit. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------



Lirik lagu nasyid berjudul 'Harapan Ramadan' dendangan Kumpulan Raihan jelas menggambarkan bulan Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam yang beriman.

Ini kerana padanya terdapat limpahan kerahmatan, keampunan dan ganjaran Allah yang diberikan khusus kepada hamba-Nya yang berpuasa.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Bulan Ramadan, bulan rahmat telah datang kepada kamu. Di mana Allah SWT telah berpaling kepadamu dan menurunkan ke atasmu rahmat yang istimewa, mengampunkan akan kesalahan-kesalahan, memperkenankan akan doa-doa, melihat di atas perlumbaan-perlumbaanmu bagi mendapatkan kebaikan yang besar dan berbangga-bangga kepada malaikat-malaikat mengenaimu. Maka tunjukkanlah akan kebaikan-kebaikan daripada kamu. Kerana sesungguhnya orang yang paling 'dikasihani' dan paling malang ialah seseorang yang terluput daripada rahmat Allah dalam bulan ini". (riwayat at-Tabrani)

Bulan yang istimewa dan penghulu segala bulan ini hanya datang sekali dalam setahun. Setiap kali kemunculannya ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam seluruhnya.

Malah, setiap umat Islam yang beriman, menantinya dengan penuh debaran dan harapan. Peluang untuk beribadah dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda pada bulan ini. Mereka tidak lepaskan dengan begitu saja. Mereka bagaikan ingin terus mendampingi Ramadan buat selama-lamanya.

Mungkin agak pelik jika ada antara kita di kalangan umat Islam yang sanggup menahan lapar dan dahaga di bulan penuh keberkatan ini semata-mata memenuhi tuntutan Allah kepada hamba-Nya yang beriman, tetapi tidak mendirikan solat.

Pengendali laman soal-jawab agama, www.ilmudanulamak.blogspot berkelulusan Universiti Al-Azhar, Ahmad Adnan Fadzil berkata, para ulama berbeza pandangan tentang hukum meninggalkan solat kerana malas atau segan (iaitu masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya).

Imam Ahmad berpandangan ia adalah kafir manakala Jumhur ulama pula bersependapat ia adalah fasiq iaitu melakukan dosa amat besar.

Jika berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulama hari ini (terutamanya dari Arab Saudi seperti Sheikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat, orang yang tidak menunaikan solat fardu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat.

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulama (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu), puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah di sini ialah dia tidak dituntut lagi menggantikan puasanya.

Namun perlu dipersoalkan adakah puasanya itu diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat?

Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riak, solatnya sah (dari sudut fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riak tersebut.

Sheikh 'Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; "Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi SAW menunjukkan ia tidak diterima".

Hadis yang dimaksudkan ialah yang bermaksud: Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (iaitu Allah tidak berhajat kepada puasanya). (riwayat Imam Bukhari, Abu Daud dan at-Tirmizi).

Puasa ditolak
Daripada mafhum hadis di atas, jika dengan kerana akhlak mazmumah (kata-kata dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, maka lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Namun, itulah yang berlaku dalam realiti masyarakat Islam kini apabila mereka tidak mengendahkan tuntutan utama agama Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah yang mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.

Bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45)

Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Md. Ali Sarbini memberitahu, menjadi satu perkara aneh jika sekiranya seseorang itu sanggup bertahan untuk berpuasa tetapi mengabaikan solat.

Menurutnya, keadaan sebegitu adalah satu perkara yang tidak tepat atau selari dengan kehendak agama yang berlandaskan kepada rukunnya yang lima sebagai pegangan setiap penganutnya.

Jelas Md. Ali, rukun Islam itu berkaitan antara satu sama lain serta saling sempurna dan menyempurnakan. Jika salah satu daripada rukun itu tidak dilaksana, maka pincanglah agama.

Sebagaimana sabda nabi SAW bermaksud, "Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi". (riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).

Kata Md. Ali, orang yang bersyahadah mesti dibuktikan dengan mengerjakan sembahyang, orang yang sanggup bersembahyang mesti dibuktikan dengan berpuasa, orang yang sanggup bersyahadah, bersembahyang dan berpuasa mesti sanggup mengeluarkan wangnya untuk diberikan kepada orang lain.

"Begitu juga orang yang sanggup mengeluarkan wang untuk membayar zakat, sanggup pula mengeluarkan wang untuk menunaikan haji...jadi rukun yang lima ini saling berkait.

"Oleh itu, menjadi satu perkara aneh sekiranya berlaku orang berpuasa tetapi tidak sembahyang seolah-olah tidak bertolak dari bawah. Ini yang banyak berlaku dalam masyarakat," katanya kepada MEGA, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Md. Ali, ibadat puasa yang dilaksanakan oleh orang seperti ini tetap sah di sisi Islam walaupun ia tidak mendirikan solat kerana Islam merupakan agama praktikal.

"Tetapi dia berdosa kerana meninggalkan sembahyang. Akan tetapi puasa itu tidak menjadi sempurna sebagai matlamat untuk membentuk masyarakat yang baik. Jadi sebaik-baiknya teruskan puasa dan laksanakan sembahyang untuk mengimbangi tuntutan agama.

"Jangan jadikan alasan berpuasa sebagai salah satu sebab untuk meninggalkan sembahyang seperti sesetengah orang berpuasa yang hanya tidur sepanjang hari bermula sahur sehingga berbuka bagi mengelakkan rasa lapar," katanya.

Bagaimanapun, Md. Ali menjelaskan, walaupun terdapat umat Islam yang berpuasa tetapi tidak bersembahyang, ia tidak boleh dikatakan sebagai satu adat atau trend yang berlaku dalam masyarakat kini.

Ini kerana katanya, ibadat puasa dilaksanakan dengan baik sekali gus membuktikan keimanan dan ketaatan terhadap suruhan Allah.

"Orang yang berpuasa walaupun tidak sembahyang masih mempunyai nilai-nilai keimanan dalam dirinya kerana mereka masih sanggup meninggalkan makan dan minum sepanjang hari.

"Hanya orang yang betul-betul beriman sahaja sanggup melakukan tuntutan Allah ini, mereka tetap mendapat ganjaran pahala daripada yang Maha Esa di atas ketaatan berpuasa tetapi dosanya meninggalkan sembahyang tetap dikira oleh Allah," jelasnya.

Bagaimanapun, Md. Ali turut menjelaskan, terdapat juga umat Islam yang berpuasa amat rajin melakukan ibadat di bulan rahmat ini tetapi tidak diteruskan amalan-amalan baik itu pada bulan-bulan lain.

Katanya, amalan terbaik di bulan puasa adalah berpuasa itu sendiri sebagai satu petanda menambahkan dan menggambarkan keimanan kepada Allah.

"Kita sanggup mendengar perintah Allah melalui al-Quran pada bulan mulai ini untuk meninggalkan perkara-perkara yang harus dilakukan di luar bulan puasa untuk beriman kepada Allah.

Bulan puasa

"Jadi malang bagi sesiapa yang boleh bertahan berpuasa serta beribadah dengan melakukan amalan berlipat kali ganda, namun di luar bulan puasa mereka kembali kepada tabiat lama mereka dengan meninggalkan segala suruhan dan menolak perintah Allah," tambah beliau.

Mengulas lanjut, Md. Ali berkata, bulan Ramadan seharusnya menjadi pendorong kepada umat Islam untuk mengekalkan sikap yang baik dan amalan mulia yang dilaksanakan sepanjang masa, tidak mengambil kira kebaikan ganjaran yang diterima hanya berdasarkan kemuliaan bulan tersebut.

Amat janggal sekiranya kita tidak meneruskan amalan seperti berpuasa sunat dan apa yang menyedihkan lagi al-Quran ditinggalkan langsung sehingga Ramadan datang lagi. Sudah tentu ia tidak dikehendaki oleh Islam.

Sekiranya tidak berlaku penerusan amalan di bulan lain, Md. Ali berpendapat, besar kemungkinan amalan yang dilaksanakan di bulan puasa tidak memberi kesan kepada kehidupan mereka itu.

"Seumpama pelajar universiti yang tamat belajar tetapi melakukan jenayah seperti mencuri, ini menunjukkan pendidikan di universiti itu tidak memberi kesan kepada dirinya," jelas beliau.

Hakikatnya bulan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya menjadikan umat Islam agar lebih produktif, proaktif, aktif dan bertenaga berusaha menjanakan kekuatan untuk memperbanyakkan ibadah dan mentaqarrubkan (mendekatkan) diri kepada Allah.

Hikmah puasa disyariatkan pula adalah untuk meningkatkan pengabdian dan perdampingan diri kepada Allah.

Sebarang ibadat yang dilakukan oleh seseorang tetap akan menyebabkan dirinya lebih hampir kepada Allah.

Kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan hamba pula menghampirkan diri kepada-Nya akan menjauhkan mereka daripada maksiat, mendekatkan diri kepada mentaati-Nya, dan segera membuat amal kebajikan.

Oleh itu, mereka sentiasa dalam keadaan yang betul dan kehidupan yang sempurna.

Semoga puasa yang kita lakukan diterima sama ada puasa perut daripada makanan, faraj daripada mengikut syahwat, mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram, tangan daripada mengambil yang haram, kaki daripada pergi ke tempat yang dimurkai Allah, lidah daripada segala kata nista dan cela dan seterusnya hati daripada nifak dan segala sifat mazmumah (yang tercela).

Insya-Allah takwa daripada ibadat puasa akan bersama dengan kita.

Ewan_sn
Ziarah Kubur Dan Bersedih Pada Hari Raya?
SEPTEMBER 3, 2010
http://drmaza.com/home/?p=1220

Soalan : Dr Asri, selamat hari raya, walaupun banyak hari lagi. Soalan, biasanya setiap pagi hariraya saya dan keluarga akan ke kubur arwah ibu kami. Hubungan kami dahulu amat rapat. Apabila di kubur, saya akan cuba ingat memori lama dengan ibu dan saya akan menangis sepuasnya. Saya ceritakan perkara ini kepada kawan sepejabat saya. Dia kata tak baik bersedih pada hari raya. Dia pun ada mention nasihat Dr Asri supaya jangan sedih pada hari raya. Saya sudah lama terbiasa sedih pada hari raya. Rasanya kosong pula kalau tidak menangis pada hari raya. Boleh Dr Asri jelaskan sedikit panduan hari raya?

Ina, Johor

Jawapan Dr MAZA : Saudari Ina yang dihormati. Saya percaya saudari seorang yang sentiasa ingin mencari redha Allah dan RasulNYA, sebab itu saudari ingin memastikan hariraya saudari mengikut panduan yang betul. Saudari hariraya adalah hari yang dikhususkan kepada kita untuk bergembira, bukan untuk bersedih. Banyak perkara jika hendak disebutkan mengenai hari raya, namun dalam ruang yang terbatas ini saya jawab persoalan saudari seperti berikut:

1. Hari raya adalah hari membesarkan Allah dan bersyukur atas kurniaanNya. Kita bertakbir tanda kemenangan, bukan tanda kesedihan. Irama takbir ala melayu agak sedih. Jika kita dengar takbir yang dilaung di dunia Islam yang lain, khususnya di dunia Arab, kita akan tahu irama takbir mereka lebih bersemangat dan lebih mendekati perasaan kemenangan. Firman Allah:
“..dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).
Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan hari raya sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada hari raya. Ini semua menzahirkan kejayaan dan kegembiraan.

2. Hari raya bukan hari menzahirkan suasana sedih, sebaliknya hari raya menzahirkan suasana kekuatan, kegembiraan dan perpaduan umat Islam. Kata Ummu Atiyyah r.aha:
“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).
Suasana sebegini menimbulkan perpaduan, kekuatan dan kegembiraan. Wanita haid pun ke suruh untuk keluar ke tempat solat, sekalipun bukan untuk solat tetapi untuk menyertai suasana kemeriahan kaum muslimin.

3. Justeru itu, Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang atau musolla (tempat solat). Baginda tidak bersolat di masjid baginda, sekalipun masjid Nabi sangat mulia. Ini bagi menzahirkan suasana gembira dan menggambarkan kepada masyarakat kekuatan umat Islam. Kata Abu Sa’id al-Khudri:
“Rasulullah s.a.w itu pada Hariraya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari:

“Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta”.
Maka afdal solat di tempat lapang untuk lebih menzahir suasana tersebut. Melainkan tempat lapang sukar didapati, atau hujan atau memberikan kesusahan yang lain kepada orangramai. Al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang itu menyebut:

“Hadis ini menjadi dalil untuk mereka yang berpendapat disunatkan keluar bersolat hari raya di musolla. Ia lebih afdal dari ditunaikan di masjid. Inilah amalan orangramai di pelbagai negara. Adapun orang Mekah, mereka sejak dahulu bersolat di masjid (al-Masjid al-Haram)”. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 6/483. Beirut: Dar al-Khair).

4. Betapa suasana kegembiraan digalakkan pada hari raya, maka Nabi s.a.w mengizinkan atau menggalakkan hiburan seperti nyanyian, pertunjukan dan sukaria yang lain selagi tidak melanggar syariat. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:
bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Banyak hadis lain menunjukkan keizinan atau galakan hiburan pada hari-hari kegembiraan seperti hari raya, hari perkahwinan dan seumpamanya. Maka, dendangan lagu hari raya yang menimbulkan suasana kegembiraan adalah digalakkan. Adapun lagu-lagu yang menimbulkan kesedihan ia bertentangan dengan konsep hari raya dalam Islam.

5. Kata Ummul Mukminin ‘Aishah r.ha:
“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menunjukkan apa-apa pertunjukan, permainan atau gurau senda yang tidak melanggar syariat adalah digalakkan pada hari raya. Bukan satu kecacatan untuk orang yang kuat agama menyertainya, kerana Nabi s.a.w sendiri menonton pertunjukan pada hari raya.

6. Maka, jika berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, hiburan kanak-kanak atau dewasa pada hari raya seperti permainan bunga api atau selainnya adalah tidak menyalahi syariat, bahkan digalakkan jika dapat menimbulkan kegembiraan. Begitu juga jamuan pada hari raya, duit raya, hadiah raya dan apa sahaja yang boleh menimbulkan suasana gembira. Namun kesemuanya hendaklah dipastikan dengan kadarnya yang tidak melampaui hukum-hakam syarak.

7. Menziarahi kubur itu pada asalnya disunatkan pada bila-bila masa bagi mengingatkan kita pada hari akhirat. Sabda Nabi s.a.w:
“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi sekarang kerana ia boleh mengingatkan kamu pada hari akhirat” (Riwayat Muslim).

Pada peringkat awal Nabi s.a.w melarang kerana bimbang kesan jahiliah dahulu masih mempengaruhi masyarakat. Apabila kefahaman Islam sudah kukuh, baginda mengizinkan kerana ia membantu mengingatkan hari akhirat. Ertinya, jika sesiapa yang apabila ke kubur akan terpengaruh dengan amalan khurafat, maka mereka ia sepatutnya mengelakkan diri dari menziarahi kubur. Jika ia menyebabkan mengingatkan hari akhirat, maka ia digalakkan.

8. Walaupun menziarahi kubur itu pada asalnya sunat, namun baginda Nabi s.a.w tidak pernah mengkhususkan supaya diziarahi khubur pada hari raya. Perbuatan mengkhususkan hari raya sebagai hari ziarah kubur tidak bersumberkan dari ajaran Nabi s.a.w. Apatahlagi dengan pelbagai upacara yang menyanggahi sunnah Nabi s.a.w yang diadakan oleh sesetengah masyarakat di kubur pada hari raya. Bahkan, jika kita melihat kepada konsep hari raya yang diterangkan, maka perbuatan bersedihan di kubur adalah menyanggahi tujuan hari raya.

9. Pada hariraya disunatkan mandi, berwangian, berpakaian cantik dan berjumpa orang ramai. Dalam hadis Jabir r.a berkata:
“Rasulullah pada hari raya mengambil jalan yang berbeza” (Riwayat al-Bukhari).

Maksudnya, jalan pergi ke tempat dan pulang yang berbeza. Kemungkinan antara hikmahnya untuk berjumpa orang ramai. Maka, berjumpa orang ramai pada hari raya adalah digalakkan dan itu patut menjadi tumpuan, bukan pergi menemui yang telah meninggal dan bersedih di kubur.

10. Pertemuan pada hariraya bukan untuk mencurahkan airmata, tetapi untuk mengucapkan ucapan kejayaan. Para sahabah apabila bertemu pada hari raya mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu)” (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah 354-356). Ucapan-ucapan lain tidak salah selagi mengandungi maksud yang baik dan bukan membawa kepada kesedihan dan kedukaan.

11. Maka, jadikanlah hariraya sebagai hari kegembiraan dan kesyukuran, bukan hari kesedihan.
This is a "lo-fi" version of our main content. To view the full version with more information, formatting and images, please click here.
Invision Power Board © 2001-2014 Invision Power Services, Inc.