Help - Search - Members - Calendar
Full Version: Laporan Sidang Dewan Rakyat..(parlimen..)
Mesra.net Forum > Politics > Politik Nasional
Ewan_sn
Saja buka Thread Laporan Dewan Rakyat ini sebab rasa seronok tgk wakil2 rakyat sekarang yg berani tegur dan kritik kerajaan. Kalau wakil2 pembangkang yg kritik tu takder saper yg hairan sebab memang dah hobi atau mmg dah mmg kerja pembangkang macam tu. Pun bukannya semua perkara dibangkang oleh wakil pembangkang..ramai pembangkang sekarang yg terdiri dari mereka yg berwibawa dan berilmu. Tak lah mcm sebelum ini yg bangkang tanpa fakta dan hujah2 yg nampak bodoh.

Lebih seronok bila diperhatikan yg lebih ramai wakil2 UMNO dan BN yg mengambil alih tempat pembangkang dalam banyak isu hingga kadang spt menenggelamkan suara2 pembangkang di parlimen. Mereka tanpa rasa takut dan berani bgn menegur beberapa kepincangan polisi dan perjalanan pentadbiran kerajaan...

Syabas Pak Lah kerana meminta mereka agar tidak melaporkan yg elok2 sahaja kpdnya. Pak Lah minta mereka tegur dan berkata benar walaupun pahit..(pak Lah kata camtu masa berucap sebaik saja dilantik sebagai PM). Sejak Pak Lah beri green light ni..ramai dikalangan ahli parti sendiri berani bersuara dgn lantang menegur segala kepincangan.

So..dalam Thread ini..insyallah dari semasa kesemasa akan eddie bawak perbincangan parlimen kesini utk kita hayati bersama..Sekian.. wink.gif
Ewan_sn
Isu Tol - Samy Vellu, Kit Siang bertikam lidah


ISU bayaran pampasan tol bertukar menjadi medan berpolitik antara Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu dan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika sesi soal jawab semalam apabila ketua pembangkang itu membangkitkan tindakan Presiden MIC menyingkirkan timbalannya.

Ketika mengutarakan soalan tambahan, Lim mengucapkan tahniah kepada Samy vellu kerana ‘membuang’ timbalannya selama 24 tahun, Datuk S Subramaniam, berdasarkan laporan akhbar, semalam.

Laporan itu menyebut, Samy Vellu memilih Naib Presiden MIC, Datuk G Palanivel, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebagai calon timbalannya pada pemilihan parti tahun depan menggantikan Subramaniam.

“Memang mudah membuang seseorang walaupun sudah lama dalam parti tapi ini (tol) soal kepentingan rakyat dan kerajaan. Rakyat tidak wajar dibebankan dengan peningkatan tol sedangkan unjuran kenderaan jauh melebihi ramalan asal.

“Mungkin tiada siapa berani menegur Presiden MIC tetapi sebagai Menteri Kerjaraya, rakyat memerlukan alasan munasabah terhadap kenaikan tol. Jangan jadikan ini sebagai isu parti,” katanya.

Belum sempat Lim menghabiskan soalannya, Samy Vellu bangun dan membidas Lim kerana membangkitkan isu yang tiada kaitan dengan urusan Dewan Rakyat dan jelas mencampuri urusan dalam MIC.

“Jangan campur aduk keputusan politik dengan keputusan kerajaan. Saya ada sebab mengambil tindakan demi kebaikan parti. Parti lain, kerajaan lain. Kita boleh cakap politik di luar.

Terdahulu, dalam jawapannya, Samy Vellu berkata, unjuran 2038 menunjukkan 889 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan dengan hasil kutipan RM209.5 bilion

Lim, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, mengakui terkejut dengan kenyataan Samy Vellu bahawa beliau berusaha mendapatkan pembebasannya apabila di tahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berikutan Ops Lalang pada 1987 di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Bagaimanapun, katanya, itu tidak menjadi isu sekarang kerana ia sudah berakhir sedangkan kutipan tol terus menjadi duri dalam daging kepada rakyat kerana kadar peningkatannya sudah tidak munasabah dan nampaknya tidak berkesudahan.

Lim berkata, kerajaan harus memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kecuaiannya yang menyebabkan rakyat kini dibebani hutang RM38.5 bilion dalam bentuk pampasan dalam tempoh 33 tahun dengan purata bayaran RM2 bilion setahun.
laugh.gif biggrin.gif
Ewan_sn
PLUS jangka hasil tol bagi 2004 - 2038 RM209,544b

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Projek Lebuh Raya Utara - Selatan Berhad (PLUS) menjangkakan perolehan hasil kutipan tol sebanyak RM209,544.52 bilion bagi tempoh 2004 hingga 2038.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, perolehan itu berdasarkan unjuran sebanyak 21.475 bilion kenderaan menggunakan tol PLUS dalam tempoh tersebut.

``Jumlah perolehan itu juga adalah berdasarkan kepada unjuran trafik perjanjian konsesi PLUS bagi tahun 2004 hingga 2038,'' katanya.

Samy Vellu menjawab soalan Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang) mengenai jumlah kenderaan yang menggunakan PLUS dan nilai mengikut tempoh perjanjian antara kerajaan dengan konsesi pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Samy Vellu, kerajaan turut membuat kajian semula ke atas perjanjian konsesi PLUS dan telah menandatangani tiga perjanjian tambahan.

Katanya, perjanjian itu ialah pada 8 Julai 1999, 11 Mei 2002 dan 22 April 2005.

``Oleh yang demikian buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai cadangan untuk membuat kajian semula ke atas perjanjian konsesi tersebut,'' katanya.

Sementara itu suasana Dewan Rakyat menjadi tegang apabila Samy Vellu membidas ketua pembangkang,Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) kerana meminta penjelasan mengenai MIC dan terkeluar dari soalan asal.

Kit Siang sebelum itu menyuarakan kekesalan terhadap Samy Vellu sebagai Presiden MIC yang didakwa cuba menyingkir timbalannya, Datuk S. Subramaniam.

``Kalau saya buang satu orang, YB (Kit Siang) sudah buang banyak orang, politik jangan cakaplah, kita cakap di luar, apa la... saya tidak suka berperang dengan YB,'' katanya.
Ewan_sn
QUOTE(edirossa @ Sep 27 2005, 08:20 AM)
Kit Siang sebelum itu menyuarakan kekesalan terhadap Samy Vellu sebagai Presiden MIC yang didakwa cuba menyingkir timbalannya, Datuk S. Subramaniam.

``Kalau saya buang satu orang, YB (Kit Siang) sudah buang banyak orang, politik jangan cakaplah, kita cakap di luar, apa la... saya tidak suka berperang dengan YB,'' katanya

laugh.gif
Ewan_sn
Ahli Parlimen masih tak puas hati isu AP


KUALA LUMPUR 27 Sept. - Seorang penyokong kerajaan hari ini seolah-olah `melepaskan geram' apabila mengambil kesempatan daripada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2005) 2005 untuk menyerang Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berhubung isu permit import (AP) kereta.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, menteri berkenaan perlu bertanggungjawab ke atas penipuan pengisytiharan harga tiba kereta import hingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian.

Serentak itu, beliau meminta sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu kerana ia dianggap sebagai sabotaj kepada ekonomi negara.

``Tahun ini adalah tahun yang dukacita apabila banyak isu timbul yang kita lihat ia disebabkan oleh sebilangan tangan-tangan kotor.

``Saya tidak setuju pembangkang kata kita tutup mulut atau `kau tim', (sebaliknya) kita wakil rakyat BN akan terus menyuarakan kemungkaran mana-mana pihak,'' katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tindakan Bung Moktar membangkitkan perkara itu turut mendapat sokongan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) apabila mencelah dengan menyatakan,`cantik, cantik'. Bagaimanapun Timbalan Speaker, Datuk Lim Si Cheng pada satu ketika mengingatkan Bung Moktar bahawa beliau mempunyai kuasa untuk tidak membenarkannya meneruskan ucapan kerana perkara itu terkeluar daripada perkara dasar perbahasan.

Namun Bung Moktar mempertahankan tindakannya itu dengan memberikan alasan bahawa masalah AP menyebabkan Perbendaharaan kerugian dan pendapatan kerajaan berkurangan.

``Saya lihat kementerian yang keluarkan AP bersubahat dengan pegawai kastam. Kenapa kereta jenama baru masuk ke pelabuhan diisytiharkan sebagai kereta terpakai, ini sabotaj ekonomi.

``Justeru mereka ini bukan sahaja dituduh di dunia tetapi di akhirat mereka akan dibangkitkan untuk bertanggungjawab,'' katanya.

Bung Moktar juga berkata, Kementerian Kewangan perlu menuntut balik kerugian kerajaan ekoran penipuan ketika mengisytiharkan harga kereta import.

``Mereka buat salah, jadi kena tanggungjawab, berapa banyak wang yang telah ditipu kena bayar balik.

``Ini kalau orang kita buka gerai tidak ada lesen disita, mereka hanya dapat RM10 sehari tetapi yang mengimport kereta `under declare' tidak diambil tindakan.'' katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya tidak meminta agar menteri berkenaan meletakkan jawatan sebaliknya perlu bertanggungjawab di atas kerugian yang dialami oleh kerajaan.

``Saya tidak minta dia letak jawatan, kalau di negara lain dia akan tahu apa yang perlu buat tetapi kita minta dia bertanggungjawab.

``Kalau tidak dia akan menghadapi tentangan daripada kita pada masa akan datang,'' tegasnya.

Sementara itu Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang juga mengambil kesempatan sesi perbahasan itu untuk mendesak Rafidah agar dipecat daripada Kabinet ekoran isu AP yang masih tidak selesai sejak ia ditimbulkan pada Mei lalu.

``Ini hari keenam sidang Parlimen dan setiap penyokong kerajaan dan pembangkang menanti dengan penuh sabar menteri berkenaan datang ke Parlimen bagi memberikan jawapan.

``Beliau tidak datang ke Parlimen untuk menjawab soalan ahli-ahli Dewan Rakyat atau memberi penjelasan dalam sesi perbahasan sedangkan beliau berkhidmat kepada rakyat dan semua ahli Parlimen dan bukannya sebagai permaisuri,'' katanya.

Katanya, berdasarkan rekod Parlimen, Rafidah hadir ke Dewan Rakyat hanya dua hari pada 2000, lima hari (2001), dua hari (2002), enam hari (2003), dua hari (2004) dan dua hari sepanjang tahun ini manakala dalam tempoh enam tahun itu beliau hanya hadir sekali bagi sesi soal jawab.

``Rafidah perlu disingkirkan daripada Kabinet bagi memelihara kredibiliti dan integriti kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha memastikan pentadbiran yang bersih, telus dan berasaskan rakyat,'' katanya.

Semalam Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib menolak usul Kit Siang supaya mewajibkan Rafidah menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi menjawab sendiri berhubung isu AP.
Ewan_sn
Laporan seleweng pengisytiharan harga kereta import isu lama

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Kementerian Kewangan menjelaskan laporan akhbar berhubung penyelewengan pengisytiharan harga kereta import yang disiarkan hari ini sebenarnya adalah isu lama dan ia tidak membabitkan Laporan Audit Negara 2004.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, laporan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan isu AP yang dibangkitkan pada masa ini kerana ia sebenarnya dipetik daripada laman web Jabatan Audit Negara bagi tempoh Januari 2000 hingga Jun 2001.

``Memang wujud kes `under declaration' bagi tempoh tersebut, ini adalah isu lama dan masalah tersebut telah diambil perhatian oleh kerajaan.

``Langkah-langkah juga telah diambil bagi menangani masalah tersebut dan banyak yang telah diselesaikan,'' katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2005) 2005 pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau mengulas masalah laporan beberapa akhbar hari ini yang mendakwa terdapat pegawai kastam di dua negeri dikesan memberikan potongan cukai kepada pengimport kereta walaupun mereka tidak layak mendapat keistimewaan berkenaan.

Pegawai terbabit juga dilaporkan gagal mematuhi prosedur berhubung cukai yang perlu dibayar bagi kereta import terpakai, menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan berjuta-juta ringgit.

Diskaun yang diberikan kepada pengimport kereta di dua negeri berkenaan membabitkan cukai tidak dikutip RM27.55 juta.

Akhbar itu mendakwa pendedahan tersebut dibuat oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil dalam Laporan Audit Negara 2004 mengenai agensi yang bertanggungjawab terhadap kutipan pendapatan bagi kerajaan.

Tiga jabatan yang diaudit Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan.

Ketiga-tiganya mengutip hampir 75 peratus daripada RM92 bilion pendapatan kerajaan tahun 2003.

Terdahulu isu tersebut dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pada sesi perbahasan rang undang-undang berkenaan.

Menurut Nor Mohamed, pihaknya sendiri telah bercakap dengan editor akhbar berkenaan dan mereka mengakui ia adalah laporan daripada laman web berkenaan.

``Laporan Audit Negara 2004 hanya akan dikeluarkan pada Jumaat ini dan saya yakin masalah tersebut tidak wujud,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan telah membentuk sebuah Jawatankuasa Khas membabitkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk meneliti masalah pengisytiharan harga kereta import yang lebih rendah.

``Melalui jawatankuasa itu kita menaikkan harga kereta import seperti (Mercedes-Benz) CLK20 yang diikrar RM47,000 kepada RM102,000 untuk dimasukkan dalam (pengiraan) cukai,'' katanya.
Ewan_sn
Rafidah tidak boleh lari - Nazri

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz tidak boleh lari daripada tanggungjawabnya terhadap Dewan Rakyat bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen berkaitan kementeriannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bagaimanapun dari segi peraturan mesyuarat adalah tidak menjadi kesalahan jika Rafidah tidak dapat menjawab sendiri perkara yang ditimbulkan kerana ada pihak lain boleh berbuat demikian bagi kementeriannya.

``Cumanya dari segi pandangan ahli-ahli Parlimen, mereka hendak menteri itu sendiri jawab. Dia (Rafidah) tidak boleh lari daripada bertanggungjawab kepada Dewan ini,'' katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2005) 2005 bagi Jabatan Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang membangkitkan persoalan adakah isu ketidakhadiran Rafidah ke Parlimen bagi menjawab soalan-soalan yang ditujukan kepadanya terutama membabitkan isu permit import (AP) dalam mesyuarat Kabinet esok.
Ewan_sn
Kutipan SMS tiga musim Akademi Fantasia RM12.25j

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Astro berjaya mengutip RM12.25 juta hasil daripada 40.6 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk tiga musim program Akademi Fantasia.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kutipan itu bagaimanapun masih rendah berbanding kos produksi AF oleh Astro yang paling mahal berjumlah RM19.24 juta.

Beliau berkata, pecahan daripada kutipan SMS itu ialah RM1.35 juta (AF1 2003), RM6.42 juta (AF2 2004) dan RM4.48 juta (AF3 2005) dengan keseluruhan 40.6 juta SMS.

``Daripada kutipan ketiga-tiga SMS sebanyak RM12.25 juta itu, sejumlah RM200,000 telah didermakan kepada pelbagai badan kebajikan,'' katanya.

Shaziman menyatakan demikian ketika menjawab soalan Rosnah Abdul Rashid Shirlin (BN-Papar) dan Datuk Paduka Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) yang ingin tahu mengenai hasil keseluruhan sumbangan rakyat menerusi SMS dalam program realiti televisyen pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata, program Mentor pula berjaya mengutip hasil SMS keseluruhan RM700,000, Malaysian Idol (RM50,000) bagi setiap episod yang kini sudah terdapat 73 episod berlangsung dan Mencari Cinta (RM2,511).

Katanya, program Bersamamu TV3 pula telah mengumpul sumbangan untuk tujuan kebajikan sebanyak RM1.068 juta sehingga Ogos lalu dan RM699,000 daripadanya telah diagihkan kepada pihak yang memerlukan.

Menurut Shaziman, hasil daripada perancangan stesen-stesen televisyen berkenaan seperti program AF, Mentor dan Malaysian Idol juga telah berjaya membantu membina kerjaya hiburan kepada ramai bakat belia tempatan.

``Seramai 38 bakat AF telah diuruskan dalam pelbagai bidang industri hiburan seperti penganjuran persembahan, rakaman suara dan penjualan hasil rakaman.

``AF juga telah menyumbang terhadap pembangunan industri muzik tempatan. Sehingga kini lebih kurang 500,000 salinan album telah dijual di pasaran Malaysia yang merangkumi rakaman solo, kompilasi dan cakera padat video (VCD) konsert,'' katanya.

Sementara itu Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang bangun mencelah berkata, pemenang pertandingan nyanyian program realiti televisyen hasil daripada undian SMS tidak menjamin kualiti sebenar artis.

``Mereka menang bukan atas dasar bakat, tetapi disebabkan undi SMS yang tidak mencerminkan kualiti sebenar artis dan sebab itu mereka yang menang akhirnya lingkup,'' katanya.
MaS_BoNgSu
Raja tak bg dtg..cam na Permaisuri nk mai.. wink.gif
Didiharaiss
raja dalam rumah...buat kira2 suri dlm. dapur, makan roti gula... biggrin.gif
Ewan_sn
Kabinet arah Rafidah jawab

KUALA LUMPUR: Kabinet semalam mengarahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi menjawab semua pertanyaan yang diajukan kepadanya berhubung isu permit import (AP) kereta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata jemaah Menteri pada mesyuaratnya semalam membincangkan perkara itu dengan panjang lebar dan memutuskan Rafidah perlu memberi penjelasan sebelum sidang penggal kedua Dewan Rakyat sesi ke-11 berakhir 8 Disember ini.

"Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini sudah mengesyorkan supaya menteri Kabinet memberi keutamaan menjawab isu penting berhubung kementerian masing-masing di Parlimen," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Rafidah kini menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean di Viantiane, Laos dan dijangka kembali 1 Oktober ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman sudah dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet dan diminta menyampaikan arahan itu kepada Rafidah.

Katanya, Kabinet sudah dimaklumkan mengenai ketidakpuasan ahli Parlimen terhadap penjelasan Rafidah mengenai isu AP dan ketidakhadiran menteri berkenaan menjawab sendiri soalan berkaitan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, tindakan kementerian berkenaan mendedahkan senarai Ahli Parlimen yang menerima AP tanpa menjelaskan bahawa Ahli Parlimen, seperti juga warga Malaysia lain, berhak dapat satu AP seumur hidup untuk membawa masuk kereta, turut menimbulkan kekesalan mereka.

"KSN memberitahu Kabinet bahawa senarai Ahli Parlimen yang menerima AP itu sebenarnya tidak perlu disertakan dalam jawapan bertulis kementerian berkenaan kepada soalan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

“Senarai Ahli Parlimen yang menerima AP tidak ditanya dan pegawai bertanggungjawab mungkin dikenakan tindakan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

Mohamed Nazri berkata, Ahli Parlimen berpendapat menjadi tanggungjawab Rafidah untuk hadir sendiri di Dewan Rakyat bagi menjelaskan isu berkenaan dan tidak lagi menggunakan taktik kotor untuk menutup mulut mereka.

Mohamed Nazri berkata pada persidangan Dewan Rakyat lalu, Perdana Menteri mengarahkan setiap menteri menjawab sendiri soalan yang dikemukakan di Parlimen sekiranya ada isu besar berkaitan kementerian masing-masing dan arahan itu masih berkuat kuasa.

Katanya, Rafidah boleh mendapat gambaran jelas mengenai rentetan apa yang berlaku sejak minggu lalu menerusi hansard dan minit mesyuarat jemaah Menteri sebelum membuat penjelasan di Parlimen.

Sementara itu, Rafidah ketika dihubungi Berita Harian menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) di Vientiane petang semalam enggan mengulas perkara itu.
Ewan_sn
Kayveas cabar ADUN isytihar harta, kecam Yang Dipertua MPPJ

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Datuk Lee Hwa Beng supaya mengisytiharkan hartanya.

Kayveas menegaskan, ia salah satu cara untuk membuktikan apa yang dibangkitkan berhubung isu pihak berkuasa tempatan (PBT) didakwa agensi paling banyak dikaitkan dengan rasuah mempunyai asasnya.

``Sekiranya Hwa Beng berkata kenyataan saya ini hanya berdasarkan andaian sendiri dan tidak bermakna, boleh beliau mengisytiharkan hartanya kepada orang ramai.

``Sudah berapa lama dia menjadi Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), berapa aset, berapa dan apakah projek yang beliau kumpul sehingga sekarang.

``Bukan sahaja untuk dirinya malah projek yang Hwa Beng dapatkan sekali bagi rakan-rakannya. Beranikah dia mengisytiharkan harta beliau. Saya tahu segalanya,'' katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Pemilikan Rumah di sini hari ini.

Sementara itu, Kayveas turut mengecam Yang Dipertua Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Datuk Ahmad Termizi Puteh dengan menyifatkannya sebagai orang yang tidak tahu menghormati Parlimen.

Kayveas menjelaskan, beliau membuat kenyataan terhadap PBT selepas soalan mengenai pihak berkuasa itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Parit, Nasaruddin Hashim di Dewan Rakyat tempoh hari.

Nasaruddin meminta Perdana Menteri menerangkan apakah tindakan pentadbiran dan perundangan yang sedang dan telah diambil oleh kerajaan bagi membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius dalam menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah.
Ewan_sn
Kita tidak menafikan ada kalangan barisan penyokong kerajaan yang lantang sejak dari dulu lagi. Lantang bukan bermakna menegur membabi buta sebaliknya menyedarkan pihak yang berkenaan terutama barisan menteri tentang tanggungjawab mereka terhadap Parlimen.

Kelantangan mereka juga tidak boleh disamakan dengan suara pembangkang yang kebanyakannya membangkitkan sesuatu isu untuk tujuan politik dan mencari khilaf kerajaan.

Dan ternyata sidang kali ini menguji keberanian dan kelantangan penyokong kerajaan untuk mengetengahkan isu berkepentingan ramai dan menjadi agenda negara. Tanpa mempedulikan kedudukan mereka, ternyata nama-nama seperti Bung Mokhtar Raden, Datuk Mohamad Aziz, Mohd, Said Yusuf dan Mohd. Alwi Che Ahmad menggamatkan Dewan Rakyat sehingga ada di antara mereka diberi amaran supaya tidak menyokong usul pembangkang.

Ternyata juga kelantangan mereka memaksa menteri yang boleh dikira jumlah kehadirannya di Dewan Rakyat tidak mempunyai pilihan selain menghadirkan diri menjawab persoalan yang berbangkit.
Ewan_sn
Bung garang tapi lembut


Bung Mokhtar, ketua keluarga yang penyayang ini sedia berdepan dan lantang mencanai isu di Dewan Rakyat berdasarkan keprihatinannya terhadap kepentingan rakyat

BIODATA
Nama penuh: DATUK BUNG MOKHTAR RADIN
Jawatan : Ahli Parlimen Kinabatangan
Asal : Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah
Umur : 46 tahun
Tarikh Lahir : 15 September 1959
Keturunan : Orang Sungai
Ibu bapa : Rashidah Jikrun dan Radin Yatim
Adik beradik: 13 (anak kelima)
Isteri : Datin Nor Asidah Alimudin
Anak : Tiga (Mohd Khairulnizam, 13, Mohd Kurniawan Naim, 11, Nor Khairunisah, 6)
Pendidikan: Kini dalam tahun akhir menyiapkan Sarjana Sastera di UKM
: Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Boxton, United Kingdom
: Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan
: Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Bilit, Kinabatangan
Jawatan politik
: Ahli Parlimen Kinabatangan (penggal kedua sejak 1999)
: Ketua Umno Bahagian Kinabatangan (1996 sehingga sekarang)
: Ketua Penerangan Pemuda Umno Sabah (1991-1995)
: Ketua Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan (1991-1995)
: Exco Pemuda Usno (1980-1991)
: Ketua Pemuda Usno Bahagian Kinabatangan (1979-1991)



FAKTA
1. Bung Mokhtar dilahirkan dalam keluarga politik apabila datuk nenek serta ibu bapanya adalah penyokong kuat Usno sejak ia ditubuhkan oleh Allahyarham Tun Datu Mustapa pada awal 1960an.

2. Sejak menyertai politik pada 1978, beliau menjadi wakil calon Usno dan
BN sebanyak lima kali untuk kerusi Sukau dan Parlimen Kinabatangan iaitu bagi Saman Ghulam (1985), Zaki Gusmiah (1985), Piting Ali (1996) Aklee Abbas (1990) dan Juhar Mahirudin (1995).

3. Sebelum menjadi Ahli Parlimen, beliau pernah berkhidmat dengan Jabatan Hal-Ehwal Khas Sandakan (1987-1991), Pegawai Luar Bandar Mara Sandakan (1991-1992) dan Setiausaha Politik Kementerian Kewangan Sabah (1994-1999).

4. Pertama kali menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Sabah pada 1994 bagi kerusi Kuamut iaitu kubut kuat pembangkang ketika itu. Beliau kalah kerana mendakwa dirinya disabotaj.

5. Pada 2001, ketika Ahli Parlimen menyertai program retreat di Terengganu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu mengumumkan Bung Moktar dan Datuk Mohamad Aziz bebas menyertai setiap debat di Dewan Rakyat. Mandat istimewa mereka berdua itu kemudian diteruskan apabila Pak Lah mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

6. Ketika ini beliau adalah juga Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (sejak 2000) dan Timbalan Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (sejak 2000)

7. Bung juga adalah Presiden Persatuan Tenpin Bowling Sabah (sejak 2003 Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan bagi Ahli Parlimen Sabah serta bekas Pengerusi Persatuan Bolasepak Sandakan Timbalan Presiden Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sabah (Sanya).





NAMA Bung Mokhtar memang menarik perhatian ramai sejak kebelakangan ini apabila kelihatan semakin lantang setiap kali berdebat di Dewan Rakyat. Sebut apa saja isu, suaranya pasti bergema di dewan yang mulia itu.

Paling mutakhir ketika rencana ini ditulis, membabitkan isu permit import (AP) sehingga beliau dan Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz, diberi amaran oleh Ketua Whip, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana didakwa menyokong usul pembangkang agar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Sidek Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Bung dipilih menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan pada 1999, namun namanya mula menarik perhatian ramai hanya pada sidang dewan rakyat Oktober 2001. Kontroversinya itu mencipta sejarah di Parlimen.

Beliau dituduh menggunakan perkataan lucah ketika meminta laluan untuk mencelah ketika Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng (DAP) sedang membahaskan konsep negara Islam.

Perkataan `masuk sikit' bagi mencelah itu mendapat liputan meluas media. Tidak cukup itu, pada petangnya, dia sekali lagi mendapat perhatian apabila mencadangkan supaya menteri atau ketua jabatan yang tidak menjalankan tugas dengan cekap dipecat.

"Itulah pengalaman pertama saya yang sangat berharga dan ia banyak membantu. Tapi saya gembira kerana sejak itu, fungsi kami sebagai Ahli Parlimen terus dihormati semua pihak," katanya.

Bung mengakui sejak kecil dia memang jenis tidak suka tengok sesuatu tidak betul berlaku dalam masyarakat. Kalau ada peluang memperbetulkannya, beliau akan lakukan.

"Saya tidak mahu ada teraniaya. Satu lagi saya ini jenis suka berdebat. Di sekolah atau kampung, pantang ada pertandingan debat, nama saya pasti tersenarai. Idea spontan saya sentiasa saja ada," katanya lagi.

Ahli Parlimen Kinabatangan ini berkata kelantangannya di Dewan Rakyat sebenarnya banyak didorong oleh sifat semula jadinya itu kerana ingin sama-sama membantu membangunkan negara ini.

Sebagai anak kampung dari sebuah pedalaman yang suatu masa dulu paling mundur di Sabah, beliau akan sentiasa menggunakan segala pengalamannya itu setiap kali ada persidangan.

"Malah saya ini juga jenis suka buat homework sebelum memperkatakan mengenai sesuatu isu. Malah setiap hari saya akan membaca hampir semua akhbar sebelum ke dewan bagi menambah maklumat," katanya lagi.

Menceritakan detik yang membawa beliau menceburi bidang politik, Bung berkata insiden itu berlaku pada 1976, ketika dia berada di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan.

"Ketika itu kerajaan Sabah baru saja diambil alih oleh Berjaya dari Usno. Saya dimaklumkan kakak dan abang saya yang bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bilit serta Yayasan Sabah dipecat.

"Pemberhentian mereka dibuat tanpa sebarang alasan namun saya difahamkan selepas itu ia kerana keluarga kami adalah penyokong Usno ketika itu. Bila saya tahu, saya jadi marah. Saya sangat marah ketika itu," katanya.

Bung sememangnya bernasib baik kerana selepas menamatkan tingkatan lima, beliau berpeluang menyatakan rasa tidak puas hatinya itu, apabila Ahli Parlimen Kinabatangan, Ghani Misbah, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Kolnah Ghani, mengadakan sesi dialog di kampungnya.

"Mereka (penyokong kedua-dua wakil rakyat itu) cuba menghalang saya menyertai dialog itu, tapi saya sempat masuk dan mengajukan soalan itu tapi kedua-dua wakil rakyat itu tidak mahu menjawab," katanya.

Kelantangan Bung selepas itu menarik perhatian pemimpin Usno Sukau, Amran Tungkor, apabila mempelawanya sebagai Setiausaha Kerja kawasan itu. Tidak lama selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Ketua Pemuda.

Apabila pilihan raya negeri diadakan pada 1985, Bung dilantik menjadi wakil calon Usno yang bertanding iaitu Saman Ghulam, walaupun pada mulanya menentang pemilihan calon itu kerana dianggap orang luar.

Bagaimanapun, beberapa bulan selepas kemenangan itu, Saman dipecat dari parti kerana cuba menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) sekaligus menyaksikan pilihan raya kecil diadakan bagi kawasan itu.

Lagi sekali kontroversi timbul berhubung pemilihan calon Usno dan kali ini Bung turut terbabit. Pucuk pimpinan parti mencadangkan Zaki Gusmiah (kini Datuk) sebagai calon, tapi dibantah ahli Usno di situ termasuk Bung.

Zaki yang sebelum itu pernah menjadi Setiausaha Perhubungan Datuk Haris Salleh, dianggap sebagai orang luar biarpun kelahiran Sukau kerana sebahagian hidupnya bertumpu di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun Bung menerima keputusan pucuk pimpinan parti. Zaki memenangi pilihan raya itu dan Bung menjadi wakil beliau.

"Saya memegang kepada prinsip, selagi calon itu tidak diputuskan muktamad oleh parti, saya akan terus mencabar. Saya akur jika itu keputusan muktamad parti dan akan memastikan kemenangannya (calon) selepas itu," katanya.

Apabila pilihan raya negeri diadakan semula pada 1986, beliau menjadi wakil calon Usno kepada Piting Ali untuk kerusi Sukau menentang Zaki yang melompat menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS).

Apabila pilihan raya negeri diadakan pada 1990, pemilihan calon Usno lebih mudah kerana calonnya, Aklee Abbas (kini Datuk) adalah anak tempatan di situ dan disenangi rakyat. Beliau adalah Penolong Pegawai Pertanian di Sukau ketika itu.

Dan lagi sekali Bung yang masih kekal menjadi Ketua Pemuda Usno dipilih sebagai wakil calon parti itu.

Apabila Umno mula mengembangkan sayapnya ke Sabah pada penghujung 1990, Bung adalah antara pemimpin yang paling aktif membantu. Beliau ketika itu dilantik sebagai penaja Ketua Penerangan Pemuda Umno Sabah dan Ketua Pemuda Kinabatangan.

Apabila Umno disahkan masuk ke Sabah pada 21 Februari 1991, Bung kekal menjadi penaja Ketua Pemuda Kinabatangan. Apabila pemilihan diadakan pada 1993, beliau berjaya menyingkirkan lawannya, Mahalil Mutalib.

Setahun selepas itu, apabila pilihan raya negeri Sabah diadakan Bung dicalonkan bertanding atas tiket BN di kerusi Kuamut, menentang calon PBS, Joseph Saang. Bagaimanapun, beliau tewas di kubu kuat pembangkang itu.

"Saat inilah paling saya tidak dapat lupakan sampai bila-bila kerana saya terpaksa berjuang `bersendirian' kerana bantuan dari pemimpin Pusat tidak dihantar. Saya kalah dengan majoriti lebih 700 undi," katanya.

Selepas kekalahan itu, Bung tidak putus asa atau merajuk. Pada pilihan raya umum 1995, beliau membuktikan kesetiaannya apabila menerima pelawaaan menjadi wakil calon kepada Datuk Juhar Mahirudin bagi Parlimen Kinabatangan.

Namun selepas melihat bosnya tidak berkesan dalam kepimpinannya, Bung mengambil tindakan berani menentangnya pada pemilihan Umno bahagian pada 1996. Cubaannya berhasil apabila berjaya menyingkirkan Juhar.

Bung mempertahankan semula kedudukannya itu pada pemilihan pada 2000 dengan sekali lagi mengetepikan saingan Juhar. Setahun sebelum itu, beliau dipilih sebagai calon BN bagi Parlimen Kinabatangan menggantikan musuh lamanya itu.

Bermula detik itulah nama Bung mula meniti sebagai antara pendebat utama di Parlimen bersama gandingan mantapnya, Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamed Aziz.

Bung berkata beliau sangat gembira kerana isteri dan tiga anaknya memahami tugasnya sebagai wakil rakyat apabila sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepadanya.

"Saya bersyukur kerana memiliki sebuah keluarga yang cukup sporting. Bayangkan jika dewan bersidang panjang, dalam sebulan saya hanya mempunyai masa 12 hari bersama mereka manakala selebihnya di Parlimen.

"Malah ada kalanya ia terpaksa dibahagi lagi dengan tugasan di kawasan pada hujung minggu," katanya, sambil memeluk mesra anaknya, Kurniawan, Khairulnizam, Khairunisah dan menjeling manja pada isterinya, Datin Nor Asidah Alimudin.
Ewan_sn
Eddie suka ada org yg macam Bung Mokhtar ni ada kat Parlimen..
Ewan_sn
“Saya selesa begini”…Bung Mokthar

Bayangkan suasana sidang Dewan Rakyat tanpa Datuk Bung Mokthar Radin.Kebelakangan ini hampir hari-hari penonton berita televisyen dapat melihat berbagai aksi ahli parlimen Barisan Nasional dari kawasan Kinabatangan Sabah ni.

Gandingan Bung serta Datuk Mohamad Aziz dari Sri Gading dan Datuk Mohd Said Yusof dari Jasin sentiasa membuat dewan gamat.

Mereka bukan saja ‘berperang’ dengan ahli parlimen pembangkang tetapi juga hentam apa yang dirasa kerajaan buat tak betul.

“Sebagai wakil rakyat sudah menjadi tanggongjawab saya untuk bersuara apa saja…kalau tidak lebih baik duduk diam-diam di kampong buat kerja lain,”kata Bung Mokthar kepada Agendadaily.


Terbaru kerana kelantanganya mempersoalkan mengenai isu AP dan menyokong usul Ketua Pembangkang Lim Kit Siang…beliau dan Datuk Mohamad Aziz kena ‘kad merah’ .


Bung Mokthar dan rakan sejawatnya itu sudah minta maaf terhadap ketelanjuran itu.Namun begitu ia tidak akan melenturkan semangat untuk terus bersuara.


Berasal dari sebuah kampong di kawasan pedalaman kawasan Kinabatangan,persekitaran kehidupannya membuatkan Bung Mokthar sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat.


“Saya orang grassroot…saya perlu jadi suara mereka agar sentiasa mendapat perhatian kerajaan,”katanya.


Bandar terbesar yang terletak jauh dari kampong asalnya ialah Sandakan.


Mereka yang mengenali Bung Mokthar dari peringkat awal penglibatannya dalam politik UMNO ketika parti itu melangkah masuk ke Sabah pada awal tahun 1992 tentu bangga melihat peningkatannya.


Beliau menapak naik dari jawatan Ketua Pemuda UMNO kawasan Kinabatangan.Lepas itu naik pangkat jadi Ketua UMNO Bahagian pula.Kini sudah masuk dua penggal beliau jadi ahli parlimen Kinabatangan.


Sebenarnya dari dulu pun Bung Mokthar sudah dikenali sebagai ahli politik yang vokal.

Kawan-kawan memang mengenali beliau jenis ‘kaki hentam’.


Beliau menjelaskan lantang bersuara tak semestinya bermaksud anti-kerajaan dan ia harus dilihat dari sudut positif.

“Saya sebenarnya tak kisah tak dilantik ke apa-apa jawatan kerajaan.Sebagai back bencher di dalam parlimen lebih mudah saya bersuara.Semua kita ada peranan masing-masing,”katanya ketika menjawab soalan mengenai itu.

“Saya selesa begini,”tambahnya.

Walaupun wajahnya kelihatan ‘garang’ Bung Mokthar sebenarnya cukup ramah dan lembut orangnya di luar sidang Dewan Rakyat.

Kerana sifatnya itu beliau merupakan antara ahli parlimen yang cukup popular di kalangan para wartawan yang membuat liputan di parlimen.
This is a "lo-fi" version of our main content. To view the full version with more information, formatting and images, please click here.
Invision Power Board © 2001-2014 Invision Power Services, Inc.